KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara terkini rejim Zionis Israel ke atas Kompleks Perubatan Nasser di Khan Younis, Gaza, pada awal pagi 12 Nov 2026 yang mengorbankan enam rakyat Palestin, termasuk seorang pakar bedah dan mencederakan lebih 20 yang lain.
"Serangan terhadap antara hospital utama di selatan Gaza itu merupakan pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang memberikan perlindungan khusus kepada hospital, pesakit serta petugas perubatan," menurut Kementerian Luar Malaysia dalam kenyataan pada Jumaat.
Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra berkata sasaran berulang ke atas kompleks perubatan yang sama itu jelas menunjukkan bahawa Rejim Zionis Israel terus menerus tidak mematuhi undang-undang antarabangsa.
Wisma Putra memaklumkan serangan berkenaan turut menambah lagi siri pelanggaran nyata oleh rejim Zionis terhadap perjanjian gencatan senjata pada 10 Okt 2025, yang sejak itu telah mengorbankan lebih 1,600 rakyat Palestin di Gaza.
"Malaysia mengulangi gesaan mendesak kepada masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya mengambil tindakan segera dan konkrit bagi menghentikan serangan ini, memastikan perlindungan orang awam serta kemudahan kesihatan di Gaza, dan membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA