JOHOR BAHRU, 13 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor berharap proses pengisian jawatan di Hospital Pasir Gudang (HPG) dapat dipercepatkan bagi memastikan keperluan tenaga kerja mencukupi, seiring dengan peningkatan kapasiti perkhidmatan hospital berkenaan.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata setakat 6 Nov lepas, sebanyak 1,276 daripada keseluruhan 2,271 jawatan yang diperuntukkan di HPG telah diisi, bersamaan dengan 56 peratus.
Beliau berkata kadar pengisian jawatan jururawat masih rendah, iaitu 40 peratus manakala pakar perubatan hanya 39 peratus.
“Kerajaan negeri akan terus memperjuangkan keperluan tenaga kerja dan kebajikan petugas kesihatan demi perkhidmatan kesihatan terbaik buat Bangsa Johor, insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Onn Hafiz berkata kerajaan negeri turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menyokong kelancaran operasi hospital berkenaan, termasuk menggerakkan Southern Volunteers (SV) Healthcare yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
Inisiatif itu bertujuan membantu melancarkan operasi hospital, meringankan beban tugas serta menjaga kebajikan doktor, jururawat dan petugas kesihatan.
Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 239 katil atau 79 peratus daripada keseluruhan 304 katil di HPG telah mula beroperasi setakat 1 Nov lepas.
Kapasiti itu dijadualkan meningkat secara berperingkat sehingga mencapai 100 peratus menjelang Mac 2027.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata KKM kekal komited memastikan HPG beroperasi secara optimum mengikut perancangan fasa yang ditetapkan demi menjamin kualiti penjagaan kesihatan rakyat Johor.
-- BERNAMA