Am 13/11/2026 10:45 PM

Cuaca Tidak Menentu Antara Cabaran Utama Pelayar RMSIR 2026

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Cuaca Tidak Menentu Antara Cabaran Utama Pelayar RMSIR 2026
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Selangor Datuk Ng Suee Lim (tengah) bersama Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Lau Weng San (tiga, kiri) dan Pengerusi Raja Muda Selangor International Regatta (RMSIR) Irsyad Ismail (kanan) ketika gimik perasmian Majlis Makan Malam Pembukaan Acara The 36" RMSIR 2026 di Royal Selangor Yacht Club (RSYC) Pelabuhan Klang hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KLANG, 13 Nov (Bernama) -- Keadaan cuaca yang tidak menentu dijangka menjadi cabaran utama kepada lebih 20 pasukan yang menyertai Regata Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) 2026.

Pengerusi RMSIR Irsyad Ismail berkata kejohanan yang dianggap antara perlumbaan pelayaran paling mencabar di Asia Tenggara itu menuntut tahap ketahanan fizikal dan mental yang tinggi daripada peserta, khususnya ketika mengharungi laluan perlumbaan yang panjang.

“Kami tahu cuaca memang tidak boleh dikawal tetapi satu perkara yang kami tahu, cuaca mesti kurang baik pada penghujung tahun.

“… tetapi cuaca macam ini bukan satu perkara yang menghalang kami untuk meneruskan perlumbaan, sebaliknya memberikan cabaran yang lebih menarik kepada pelayar,” katanya kepada Bernama.

Irsyad berkata edisi kali ini menghimpunkan pasukan daripada pelbagai negara, termasuk Hong Kong, Australia, Thailand, Singapura dan Belgium yang mempunyai pengalaman luas dalam sukan pelayaran.

Beliau berkata perlumbaan selama 10 hari itu bermula dari Pelabuhan Klang sebelum peserta meneruskan pelayaran ke Pulau Pangkor, Pulau Pinang dan Langkawi, dengan sebahagian laluan memerlukan mereka belayar sepanjang malam.

Menurut Irsyad, beliau berharap penganjuran edisi ke-36 dapat terus mengukuhkan reputasi RMSIR sebagai kejohanan pelayaran antarabangsa yang menawarkan pengalaman unik kepada peserta yang mengambil bahagian.

“Saya harapkan semua dapat mengharungi regata ini dengan selamat dan berjaya. Walaupun mereka kalah, memori yang mereka bawa dari sini mesti akan baik dan sentiasa diingati,” katanya.

-- BERNAMA