Oleh Nabilah Saleh dan Linda Khoo
MANILA, 13 Nov (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan tiba di Manila bagi mengetuai penyertaan Malaysia dalam mesyuarat persiapan peringkat menteri menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, dengan isu Myanmar kekal sebagai antara agenda utama blok serantau itu.
Kementerian Luar, yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra, menerusi satu hantaran di Facebook memaklumkan bahawa sidang kemuncak yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 17 Nov itu turut memberi tumpuan kepada usaha memajukan penyelesaian secara aman melalui pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC).
“Bagi Malaysia, kerja persiapan ini penting bagi memastikan ASEAN kekal berupaya bertindak secara kolektif dalam menangani cabaran serantau.
“Melalui rundingan bersama negara anggota lain, Malaysia menyumbang kepada proses membina konsensus, mengurus perbezaan pendapat serta membentuk perbincangan yang seterusnya akan berlangsung di peringkat tertinggi,” menurut kenyataan itu.
Kementerian itu berkata mesyuarat berkenaan akan memberi peluang kepada negara anggota untuk meneliti perkembangan serantau serta menangani isu politik dan keselamatan sebagai persediaan bagi perkara yang akan dipertimbangkan dan diputuskan oleh pemimpin ASEAN.
Perbincangan turut merangkumi kestabilan serantau, kerjasama ASEAN serta cabaran lebih luas yang memberi kesan kepada Asia Tenggara.
Wisma Putra berkata Malaysia akan meneruskan usaha berasaskan inisiatif yang dilaksanakan sepanjang tempoh Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025 dalam menyumbang kepada perbincangan itu.
-- BERNAMA