KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) – Tiada sebarang petunjuk cip kecerdasan buatan (AI) yang dikaitkan dengan isu Nvidia-Megaspeed dieksport dari Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tiada sebarang petunjuk tentang perkara itu (setakat ini),” kata beliau kepada pemberita hari ini apabila ditanya sama ada terdapat bukti cip tersebut dieksport keluar dari negara ini.
Anwar turut berkata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani telah memberikan laporan mengenai perkara itu pagi ini.
"Kami akan bekerjasama dengan semua agensi yang terlibat,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Madrasathul Gouthiyyah, di Brickfields, di sini, hari ini.
Mengenai sama ada Malaysia telah menerima permintaan rasmi daripada Singapura atau Amerika Syarikat (AS) berhubung sebarang siasatan terhadap isu Nvidia-Megaspeed, Anwar berkata setakat ini negara belum menerima sebarang permohonan daripada kedua-dua negara tersebut.
“Buat masa ini, kita belum menerima sebarang permintaan sedemikian. Namun, sudah tentu kita akan bekerjasama.
“Kita ialah negara perdagangan. Kita mengalu-alukan pelaburan. Kita mahu memastikan peraturan dipatuhi,” kata beliau.
Terdahulu hari ini menerusi satu kenyataan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan tidak pernah memberikan kelulusan kepada Megaspeed International Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura atau syarikat sekutunya di Malaysia, Speedmatrix Sdn Bhd.
Menurut MITI, Speedmatrix adalah penyewa pusat data di Malaysia dan membawa masuk pelayan dan cip AI milik sendiri ke negara ini untuk tujuan operasinya.
Kementerian itu memaklumkan sedang bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk menentukan sama ada mana-mana cip tersebut telah dieksport semula ke negara lain atau mematuhi undang-undang Malaysia.
Menurut MITI, kemasukan cip AI ke Malaysia pada masa ini tidak memerlukan sebarang permit atau lesen.
Bagaimanapun, mulai Julai 2025, mana-mana pihak yang ingin mengeksport, mengeksport semula, memindah cip AI berprestasi tinggi AS dari atau melalui Malaysia, perlu terlebih dahulu mendapatkan permit daripada MITI di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010.
“Memberikan maklumat palsu kepada pihak Kastam mengenai barangan sedemikian juga merupakan satu kesalahan serius di bawah Akta Kastam 1967,” menurut kementerian itu.
MITI memaklumkan Malaysia akan menjalankan pemeriksaannya sendiri selaras dengan undang-undang negara dan berdasarkan bukti yang ada.
--BERNAMA