Dunia 13/11/2026 02:38 PM

Pemimpin ASEAN Bakal Teliti Pelan Damai Myanmar Pada Sidang Kemuncak Manila

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pemimpin ASEAN Bakal Teliti Pelan Damai Myanmar Pada Sidang Kemuncak Manila
Kredit: PNA

MANILA, 13 Nov (Bernama-PNA) – Para pemimpin negara anggota ASEAN dijadual menilai pelaksanaan pelan damai utama blok itu bagi menangani krisis Myanmar pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung hujung minggu ini, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Jurucakap Hal Ehwal ASEAN Kementerian Luar Filipina Dax Imperial tidak memberikan jawapan secara langsung ketika ditanya sama ada ASEAN akan mengesyorkan supaya kepimpinan Myanmar dibenarkan kembali menyertai mesyuarat blok itu.

Bagaimanapun, beliau berkata sebarang keputusan akan dinyatakan dalam dokumen yang dimuktamadkan melalui rundingan selepas mesyuarat pemimpin ASEAN.

"Kami telah memaklumkan dalam beberapa pertemuan sebelum ini bahawa sidang kemuncak kali ini akan memberi tumpuan kepada penilaian dan keputusan para pemimpin ASEAN mengenai pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC).

"Justeru, perkara itu sememangnya menjadi sebahagian daripada agenda pemimpin ASEAN pada sidang kemuncak ini," kata beliau pada sidang media di Pusat Media Antarabangsa di Pasay City.

Pada 2021, pemimpin ASEAN mengehadkan penyertaan Myanmar dalam mesyuarat blok itu kepada wakil bukan politik susulan rampasan kuasa tentera di negara berkenaan pada tahun sama.

Terdahulu, Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow dipetik media sebagai berkata bahawa Myanmar kini menunjukkan hasrat untuk kembali melibatkan diri secara aktif dalam ASEAN.

Pemimpin negara anggota ASEAN dijadual menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pasay City, kecuali Myanmar yang akan diwakili Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal ASEAN, Kementerian Luar negara itu.

-- BERNAMA-PNA