Ekonomi 12/11/2026 07:44 PM

Johor Plantations Catat Keuntungan Bersih Suku Ketiga Lebih Rendah Sebanyak RM100.26 Juta

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Johor Plantations Catat Keuntungan Bersih Suku Ketiga Lebih Rendah Sebanyak RM100.26 Juta

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Johor Plantations Group Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM100.26 juta untuk suku ketiga berakhir 30 Sept 2026, daripada RM106.03 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini disebabkan oleh kejatuhan dalam volum jualan selain kos pengeluaran yang lebih tinggi.

Pengeluar minyak sawit itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) dalamannya telah meningkat sebanyak 13.5 peratus kepada RM2,526 setan metrik.

Pendapatan juga menyusut kepada RM450.71 juta daripada RM496.15 juta, berpunca akibat volum penghantaran yang lebih rendah untuk MSM (turun 15.9 peratus kepada 78,451 setan metrik) dan untuk isirong sawit (merosot 10.4 peratus kepada 21,290 setan metrik).

Untuk tempoh sembilan bulan berakhir 30 Sept 2026, kumpulan itu melaporkan penurunan dalam keuntungan bersih iaitu sebanyak RM201.76 juta berbanding RM257.15 juta yang disaksikan semasa tempoh yang sama tahun sebelumnya, ditanggung oleh kos pengeluaran dan operasi yang lebih tinggi, bersama dengan pendapatan kewangan yang agak lemah.

Hasil juga merosot kepada RM1.22 bilion bagi tempoh Januari-September 2026 daripada RM1.23 juta berikutan volum penghantaran MSM dan PK yang kurang memberangsangkan daripada segmen huluan, sebahagiannya diimbangi oleh volum penghantaran yang lebih tinggi daripada segmen pertengahan dan purata harga jualan MSM dan isirong sawit yang menguntungkan.

Dalam satu kenyataan media, Pengarah Urusan Mohd Faris Adli Shukery berkata kumpulan itu komited terhadap pelaksanaan berdisiplin program penanaman semula yang dipercepatkan dari 2026 hingga 2028, dengan tumpuan untuk meningkatkan produktiviti perladangan jangka panjang melalui bahan penanaman dan kecekapan operasi yang lebih baik.

Beliau berkata Johor Plantations sedang memajukan mekanisasi dan mengguna pakai penyelesaian digital di seluruh ladang serta kilangnya untuk melonjakkan produktiviti tenaga kerja, meningkatkan kualiti dan kebolehkesanan produk, termasuk mengukuhkan lagi usaha pengurusan kos syarikat itu.

“Melihat ke hadapan, kami mengekalkan tinjauan pengeluaran yang positif, disokong oleh peningkatan berterusan dalam hasil dan kecekapan operasi.

“Namun begitu, kami tetap mengambil kira potensi gangguan yang timbul daripada keadaan cuaca buruk, terutamanya dengan bermulanya musim tengkujuh pada November 2026,” katanya lagi.

-- BERNAMA