KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Sebanyak 7,792 anggota, 226 bot menyelamat dan 316 kenderaan darat pelbagai jenis sudah bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) di Kelantan untuk memastikan operasi menyelamat dan pemindahan mangsa banjir dapat dilaksanakan mengikut keperluan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) turut menyalurkan peruntukan pengoperasian sebanyak RM300,000 kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kelantan bagi menghadapi musim tengkujuh berkenaan.
Beliau berkata NADMA turut menyediakan dua set lengkap Khemah Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), selain menyalurkan RM330,000 kepada JPBN Kelantan bagi perolehan 22 bot penyelamat berserta enjin dan jaket keselamatan untuk memperkukuh kapasiti operasi di kawasan berisiko.
“Bagi pengurusan mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS), NADMA turut menghantar 10,792 unit khemah kubikel boleh lipat (collapsible cubicle tent), 9,000 kit makanan dan 20,500 pek makanan retort akan diagihkan bagi kegunaan di seluruh Kelantan apabila diperlukan,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Zahari Kechik (Jeli) mengenai tahap kesiapsiagaan NADMA menghadapi banjir di Kelantan, khususnya penempatan sepanjang sungai berisiko tinggi dan kawasan yang berpotensi terputus hubungan.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara berkata penempatan aset dan bekalan kritikal diberikan keutamaan di kawasan berisiko bagi memastikan operasi menyelamat dan bantuan dapat digerakkan dengan segera sebelum laluan terputus akibat banjir.
Beliau berkata aspek pengaturan anggota, latihan sukarelawan dan mekanisme pemindahan awal turut diselaraskan melalui JPBN dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) bersama agensi tindak balas berkaitan.
Selain itu, beliau berkata lapan siri latihan Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) membabitkan 726 peserta dilaksanakan di Kelantan hingga September lepas bagi meningkatkan keupayaan penduduk mengambil tindakan awal sebelum bantuan agensi penyelamat tiba.
Katanya, NADMA turut menyalurkan RM250,000 bagi pelaksanaan program CBDRM di Kelantan, termasuk program di Jeli pada 25 hingga 26 Sept lepas yang melibatkan lebih 200 peserta dari 23 kampung sekitar Empangan Pergau.
Beliau berkata program latihan sukarelawan Rakan NADMA East Coast Disaster Coordination and Response Simulation Exercise (EASTCOORD) 2026 turut dilaksanakan di Jeli pada 4 hingga 7 Sept lepas bagi memperkukuh koordinasi sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menghadapi bencana.
-- BERNAMA