Am 13/11/2026 12:09 AM

Fasa Kedua Pendaftaran Pelarian Myanmar Dijangka Bermula Dalam Masa Terdekat - Ahmad Zahid

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Fasa Kedua Pendaftaran Pelarian Myanmar Dijangka Bermula Dalam Masa Terdekat - Ahmad Zahid
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Kerajaan dijangka memulakan fasa kedua program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) yang memfokuskan kepada pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di luar Depot Tahanan Imigresen (DTI) dalam masa terdekat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata program pendataan komuniti pelarian Myanmar di seluruh negara itu kini masih berada pada fasa pertama yang memberikan tumpuan kepada individu di dalam DTI.

“Kerajaan juga sedang meneliti kesesuaian pelaksanaan kawalan pergerakan kepada golongan-golongan ini dengan mengambil kira kepentingan keselamatan dan kedaulatan negara serta hak asasi manusia,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab pertanyaan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai status penyediaan dan pembentangan pelan pengurusan pelarian menyeluruh kepada Jemaah Menteri serta cadangan membentangkan rangka dasar itu di Dewan Rakyat.

Ahmad Zahid berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan sedang giat melaksanakan sesi libat urus bagi mendapatkan maklum balas serta merancang tindakan bersesuaian untuk menyelaraskan isu melibatkan golongan pelarian di Malaysia.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau), Ahmad Zahid berkata kemasukan golongan pelarian berkenaan ke negara ini adalah melalui sindiket di sempadan darat dan maritim, bukannya menerusi Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) yang sah atau diwartakan.

Beliau berkata kerajaan turut memperkasakan Arahan MKN No. 23: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka (Semakan 2023) yang ditandatangani Perdana Menteri pada 14 Jun 2023 bagi memperkukuh pengurusan pelarian di negara ini.

Katanya, pelbagai operasi bersepadu melibatkan agensi keselamatan, penguatkuasaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) turut dilaksanakan bagi membanteras ketidakpatuhan migran asing, termasuk aktiviti bersifat gangsterisme.

“Pelaksanaan DPP ini bagi tujuan pendataan dan operasi bersepadu yang dilaksanakan oleh agensi keselamatan dan penguatkuasaan dijangka dapat mengawal pengaruh-pengaruh negatif yang dilaksanakan bagi tujuan memanipulasi komuniti sedia ada,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri menjawab soalan Shahidan mengenai tindakan kerajaan menangani kemasukan pelarian Myanmar yang didakwa terlibat dalam aktiviti gangsterisme, khususnya di Pasar Selayang, serta mekanisme pemantauan bagi mengelakkan manipulasi terhadap komuniti berkenaan.

-- BERNAMA