PUTRAJAYA, 12 Nov (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan terus mempergiat usaha mekanisasi, automasi dan pendigitalan sektor perladangan bagi mengurangkan kebergantungan pada pekerja asing serta meningkatkan produktiviti.
Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata antara inisiatif dilaksanakan ialah Project Infinity oleh SD Guthrie Berhad (SD Guthrie) sejak 2021.
“Setakat Jun lepas, sebanyak 444 mesin digunakan bagi aktiviti bukan penuaian seperti pembajaan, kawalan rumpai serta kawalan perosak dan penyakit tanaman.
"Penggunaan mesin itu mengurangkan keperluan 2,252 pekerja am atau 29 peratus tanpa melibatkan pemberhentian pekerja," katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata jumlah pekerja asing SD Guthrie turut berkurang 18 peratus, daripada 22,607 orang pada 2019 kepada 18,435 orang.
Noraini berkata nisbah keluasan tanah kepada pekerja meningkat daripada 1:11 kepada 1:13, melebihi julat lazim industri, iaitu antara 1:8 hingga 1:10.
"Walaupun jumlah jentera dikurangkan 53 peratus, produktiviti setiap mesin meningkat 51 peratus, manakala kapasiti efektif meningkat 2.45 kali ganda," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata KPK menerusi Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) serta Pusat Latihan Sawit Malaysia Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), turut bekerjasama dengan SD Guthrie dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi Program Pakar Mesin.
"Setakat ini, sebanyak 503 anak tempatan telah dilatih dan ditempatkan dengan purata gaji kira-kira RM3,500 sebulan.
"Hal ini membuktikan bahawa sektor perladangan moden mampu menawarkan peluang kerjaya berkemahiran dengan pendapatan kompetitif kepada golongan belia," katanya.
Noraini berkata KPK akan terus bekerjasama dengan industri bagi mempercepat penggunaan teknologi dan mengurangkan kebergantungan pada pekerja asing secara berperingkat, selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13.
-- BERNAMA