Am 12/11/2026 12:52 AM

MRANTI Selaras Tindakan Berasaskan Misi Dalam Lima Bidang Keutamaan Di I-Nation 2026

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
MRANTI Selaras Tindakan Berasaskan Misi Dalam Lima Bidang Keutamaan Di I-Nation 2026
Kredit: MRANTI

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) menerusi penganjuran I-Nation 2026 hari ini, menyelaras tindakan berasaskan misi dalam lima bidang keutamaan melalui lima sesi kerja dikenali sebagai Mission Labs.

MRANTI dalam kenyataan hari ini memaklumkan Mission Labs menghimpunkan wakil daripada kerajaan, industri, penyelidik, pengawal selia dan penyedia pembiayaan untuk mengenal pasti penyelesaian yang boleh dibangunkan sebagai projek rintis. 

Misi itu memberikan tumpuan kepada penuaan sihat, keterjaminan makanan, industri sawit, ekonomi altitud rendah dan mobiliti autonomi dengan tiga bidang pertama menyokong inisiatif nasional terpilih daripada tujuh Mission-Oriented Initiatives (MOI) yang diluluskan oleh Majlis Sains Negara.

“Dua lagi memberikan tumpuan kepada peluang baharu yang didorong oleh permintaan industri. Antara hasil yang disasarkan ialah pembentukan Execution Pods, iaitu pasukan pelaksana yang akan membawa penyelesaian terpilih ke peringkat projek rintis dalam tempoh enam hingga 12 bulan.

“Dapatan projek rintis akan digunakan untuk menilai prestasi operasi, daya maju kewangan dan kesan sosial sebelum sesuatu penyelesaian dipertimbangkan untuk penggunaan yang lebih meluas,” menurut kenyataan itu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang dalam kenyataan sama berkata keutamaan Malaysia ketika ini ialah memastikan keupayaan penyelidikan dan inovasi negara menghasilkan manfaat yang dapat diukur untuk rakyat dan industri. 

“Malaysia mempunyai keupayaan penyelidikan yang kukuh, syarikat yang inovatif, institusi yang mantap dan rakyat yang berbakat. Keutamaan kita kini ialah memanfaatkan kekuatan ini supaya lebih banyak teknologi digunakan, syarikat kita mampu bersaing dan penyelesaian yang dibangunkan memenuhi keperluan negara.

“I‑Nation membantu menjayakan perubahan ini dengan menghubungkan keutamaan negara dengan kepakaran dan sumber yang diperlukan untuk melaksanakannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI Ashran Ghazi berkata Mission Labs dirangka untuk menetapkan tindakan susulan yang jelas bagi setiap projek rintis.

“Mission Labs dirangka supaya usaha kita tidak terhenti pada peringkat cadangan. Peranan MRANTI ialah menyelaraskan kerjasama antara badan kawal selia, pihak industri yang berpotensi menggunakan teknologi berkenaan, penyelidik, penyedia teknologi dan penyedia pembiayaan bagi melaksanakan projek rintis dengan tempoh yang jelas dan hasil yang dipersetujui bersama,” katanya. 

-- BERNAMA