KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Jumlah institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) yang berdaftar di bawah Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) kini berkurang kepada 359 buah susulan langkah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyemak semula kedudukan institusi berkenaan, termasuk mengarahkan penutupan institusi yang tidak lagi beroperasi.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata langkah itu diambil selepas mendapati jumlah IPTS yang terlalu banyak sebelum ini, sekali gus memerlukan penilaian semula terhadap status operasinya.
Beliau berkata daripada keseluruhan 359 IPTS itu, sebanyak 65 institusi berstatus universiti, 39 kolej universiti, 11 kampus cawangan luar negeri dan 244 kolej.
“Sebenarnya kita sudah mengurangkan angkanya (IPTS) kerana waktu saya masuk dulu, saya dapati terlalu banyak. Jadi kita minta lihat balik kedudukan universiti-universiti ini. Mana yang sudah tidak lagi berfungsi, kita arahkan untuk tutup.
“… dan setakat 30 Sept lepas, sebanyak 348,496 orang pelajar tempatan dan 75,721 orang pelajar antarabangsa mengikuti pengajian di 65 IPTS bertaraf universiti tersebut,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa bagi KPT.
Dalam perkembangan lain, Zambry berkata kerajaan menggunakan pelbagai pendekatan bagi mempercepat penyediaan kemudahan penginapan mahasiswa, termasuk menerusi kerjasama awam-swasta (PPP) dan inisiatif kewangan swasta (PFI).
Katanya, lima kolej kediaman baharu di universiti awam sedang dibangunkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menerusi kaedah PPP, dengan kapasiti keseluruhan sehingga 21,000 pelajar.
Mengulas tentang kebolehpasaran graduan, Zambry berkata Sistem Kajian Pengesanan Graduan merekodkan sebanyak 217,768 atau 92.3 peratus graduan baharu warganegara Malaysia memperoleh pekerjaan pada 2025, manakala 18,279 orang atau 7.74 peratus belum bekerja.
Terdahulu, semasa sesi perbahasan, beberapa Ahli Parlimen membangkitkan isu berkaitan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), dana penyelidikan, pembangunan institusi pengajian tinggi di Sabah serta kebajikan mahasiswa termasuk kemudahan penginapan, biasiswa dan bantuan kewangan.
Turut dibangkitkan ialah punca kuasa undang-undang penubuhan universiti swasta di Malaysia serta bidang kuasa KPT dalam mengawal selia operasinya, khususnya berhubung penggunaan bahasa pengantar, penetapan yuran dan mekanisme pemantauan bagi memastikan institusi berkenaan mematuhi dasar dan aspirasi negara.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan KPT berjumlah RM19,085,572,100 bagi 2027 dengan lebih suara bersetuju, selepas dibahaskan 21 Ahli Parlimen.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.
-- BERNAMA