Am 11/11/2026 08:59 PM

Malaysia Dipandang Tinggi Dalam Pembangunan Telekomunikasi Global - Duta Besar

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Malaysia Dipandang Tinggi Dalam Pembangunan Telekomunikasi Global - Duta Besar

Daripada Samantha Tan Chiew Tieng

DOHA, 11 Nov (Bernama) -- Malaysia semakin mendapat perhatian negara maju dan membangun sebagai rakan strategik dalam sektor telekomunikasi, dengan pengalaman serta kepakaran negara kini turut menjadi rujukan dalam usaha memperkukuh pembangunan teknologi komunikasi pada peringkat antarabangsa.

Duta Besar Malaysia ke Qatar Faizal Razali berkata perkembangan positif itu dapat dilihat menerusi siri pertemuan dua hala Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil dengan wakil pelbagai negara bersempena dengan Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) Doha 2026 dan Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2026 (ITU PP-26).

Beliau berkata pertemuan berkenaan bukan sahaja membuka peluang kerjasama strategik, malah turut membuktikan bahawa pembangunan sektor telekomunikasi Malaysia semakin mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.

"Kita dapat lihat bahawa negara-negara maju memberikan perhatian terhadap tindakan dan juga pembangunan yang dilakukan oleh Malaysia. Pada masa yang sama, Malaysia juga menawarkan kepakaran untuk membantu negara-negara lain dalam membangunkan sistem telekomunikasi," katanya kepada Bernama dan RTM di sini pada Rabu. 

Faizal berkata pengiktirafan terhadap peranan Malaysia turut dizahirkan kerajaan Qatar yang memberikan taraf tetamu kepada menteri-menteri Malaysia termasuk Fahmi sepanjang lawatan kerja beliau ke negara tersebut.

Beliau berkata penghormatan itu mencerminkan penghargaan kerajaan Qatar terhadap sumbangan Malaysia dalam pembangunan sektor telekomunikasi dunia, selain memperlihatkan hubungan erat antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Faizal berkata penyertaan Malaysia dalam MWC Doha 2026 dan ITU PP-26 amat penting bagi memastikan suara serta pandangan negara terus diambil kira dalam pembentukan dasar dan hala tuju telekomunikasi global.

Beliau berkata penglibatan aktif Malaysia dalam persidangan antarabangsa itu membolehkan negara menyumbang pandangan terhadap penggubalan peraturan serta kerangka pembangunan sistem telekomunikasi dunia.

"Lawatan Datuk Seri ini amat penting kerana dapat memastikan suara Malaysia dan pandangan Malaysia sentiasa berada pada peringkat antarabangsa, terutamanya dalam merangka peraturan dan juga hala tuju pembangunan telekomunikasi dunia.

"Hal ini bagi memastikan suara Malaysia sentiasa didengar dan pandangan Malaysia diambil kira dalam menentukan kerangka dan hala tuju pembangunan sistem telekomunikasi dunia," katanya.

Faizal berkata penyertaan itu juga memberikan peluang kepada Malaysia untuk mengikuti perkembangan teknologi terkini, berkongsi kepakaran serta mempelajari pendekatan negara lain dalam membangunkan sistem telekomunikasi yang lebih maju dan berdaya saing.

Dalam pada itu, beliau berkata Menteri Komunikasi turut mengambil kesempatan sepanjang lawatan kerja berkenaan untuk menyantuni komuniti rakyat Malaysia di Qatar menerusi pelbagai program yang dianjurkan, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan untuk terus memberikan perhatian terhadap kebajikan rakyat Malaysia di luar negara, khususnya dalam menghadapi cabaran dan perkembangan semasa pada peringkat global.

Fahmi, yang mengetuai delegasi Malaysia ke ITU PP-26 sejak 6 Nov lepas, menamatkan lawatan kerja beliau ke Qatar hari ini.

Misi utama lawatan itu adalah untuk memperkukuh sokongan negara anggota bagi mempertahankan kerusi Malaysia dalam Majlis ITU bagi penggal 2027-2030, menjelang pemilihan yang dijadualkan berlangsung pada 16 Nov ini.

Beliau diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran serta wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan syarikat telekomunikasi termasuk Telekom Malaysia (TM), CelcomDigi, Maxis dan U Mobile.

-- BERNAMA