Am 11/11/2026 03:37 PM

Sabah Perkasa Transformasi Perundangan Adat, Naik Taraf Mahkamah Anak Negeri

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Sabah Perkasa Transformasi Perundangan Adat, Naik Taraf Mahkamah Anak Negeri
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor

TUARAN, 11 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah komited memperkasakan transformasi institusi perundangan adat, menerusi peruntukan dana untuk menaik taraf fizikal bangunan dan membina Mahkamah Anak Negeri (MAN) baharu, di beberapa daerah di seluruh negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata peruntukan itu, turut merangkumi cadangan menaik taraf Kompleks Kehakiman Anak Negeri Sabah bagi menyokong struktur institusi lebih mantap, selain meletakkan status Undang-Undang Adat Anak Negeri, pada kedudukan lebih dihormati dan setaraf dalam sistem perundangan negara.

Beliau berkata pemerkasaan imej MAN sebagai institusi perundangan adat itu juga seiring dengan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Anak Negeri 2026, oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Julai lepas.

“Agenda perjuangan kerajaan GRS (Gabungan Rakyat Sabah) tidak pernah terhad kepada pembangunan fizikal dan material semata-mata, sebaliknya turut merangkumi usaha memelihara jati diri, khazanah dan institusi perundangan adat.

“Sabah, negeri yang kaya dengan kepelbagaian budaya, adat resam dan keunikan anak negeri. Oleh itu, memelihara maruah dan kedaulatan undang-undang adat, tanggungjawab besar dipikul kerajaan hari ini,” katanya berucap merasmikan Projek Pemuliharaan Sungai Tuaran dan Tapak Letak Kenderaan Baharu Pekan Tuaran di sini, hari ini.

Hajiji berkata kelulusan RUU Mahkamah Anak Negeri 2026 itu, menandakan detik bersejarah yang menamatkan penantian sekian lama kerajaan negeri untuk memartabatkan sistem perundangan adat anak negeri.

Beliau berkata langkah mengukuhkan MAN juga bertujuan memodenkan sistem perundangan tradisional Bumiputera, selain memastikan institusi tersebut kekal berkesan, relevan dan berwibawa seiring peredaran zaman.

“Usaha ini juga untuk memastikan bidang kuasanya lebih jelas, teratur dan berupaya memelihara serta memartabatkan undang-undang adat tempatan,” kata Ketua Menteri.

Hajiji berkata pembaharuan utama berjaya dicapai menerusi enakmen baharu itu, antaranya struktur kehakiman lebih mantap dan profesional termasuk penyusunan semula struktur mahkamah, agar lebih komprehensif merangkumi Mahkamah Daerah Anak Negeri, Mahkamah Tinggi Anak Negeri dan Mahkamah Rayuan Anak Negeri.

Beliau berkata jawatan Ketua Hakim dan Hakim Besar Mahkamah Anak Negeri serta jawatan Peguam Mahkamah Anak Negeri dan Pendaftar turut diwujudkan.

“Pelantikan hakim kini dirancang berasaskan merit, bagi memastikan integriti dan kewibawaan yang tinggi,” katanya.

Hajiji berkata pengukuhan itu turut melibatkan pemisahan fungsi lebih nyata antara pentadbiran dan adat dengan fungsi penghakiman, namun peranan tradisi pegawai adat seperti Ketua Daerah dan Ketua Anak Negeri tetap dipelihara untuk mengekalkan akar adat masyarakat Sabah.

-- BERNAMA