Politik 11/11/2026 12:17 PM

Jabatan Pilihan Raya PH Rakam Penghargaan Atas Khidmat Loke - Adly

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Jabatan Pilihan Raya PH Rakam Penghargaan Atas Khidmat Loke - Adly
Adly Zahari

MELAKA, 11 Nov (Bernama) -- Jabatan Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 merakamkan penghargaan kepada Setiausaha Agung DAP Anthony Loke atas khidmat beliau sebagai Menteri Pengangkutan sejak Disember 2022 hingga peletakan jawatannya semalam.

Pengerusi PH Melaka Adly Zahari berkata pendirian Loke untuk meletakkan jawatan itu wajar dihormati.

“Kesungguhan melaksanakan tanggungjawab (semasa memegang jawatan Menteri Pengangkutan) serta pendirian beliau wajar dihormati,” katanya pada sidang media harian di Bilik Gerakan Utama PH di sini hari ini.

Semalam, Loke mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan di rumah.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Najib, 73, menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan di rumah di kediamannya di Langgak Duta, berkuat kuasa semalam.

Ditanya sama ada perkara itu boleh menjejaskan sokongan rakyat terhadap PH pada PRN Melaka kali ini, Adly berkata beliau menyerahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian.

“Tapi asasnya kita sebut bahawa keadilan ataupun hukuman ataupun apa-apa sahaja bentuk hukuman mesti adil kepada semua rakyat Malaysia. Itu prinsip kita,” katanya.

Adly berkata PH akan meneruskan kempen PRN Melaka seperti biasa dengan memberi tumpuan kepada usaha menjelaskan tawaran parti serta mendekati pengundi menjelang hari pengundian Sabtu ini.

Beliau berkata antara fokus PH ialah memastikan pembangunan ekonomi negeri turut menyediakan peluang pekerjaan berkualiti dengan pendapatan lebih baik kepada penduduk tempatan, khususnya golongan muda.

Memetik data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), beliau berkata median gaji bulanan pekerja warganegara di Melaka pada 2025 ialah RM2,773, lebih rendah berbanding RM2,940 di peringkat nasional.

Justeru, Adly berkata pelaburan perlu diterjemahkan kepada jawatan yang sepadan dengan kelayakan, pendapatan stabil dan peluang kenaikan pangkat.

“Contohnya, pembangunan industri perlu membuka laluan kepada pekerjaan teknikal seperti juruteknik penyelenggaraan, kawalan mutu dan automasi supaya penduduk dapat membina kerjaya di negeri Melaka sendiri,” katanya.

Beliau berkata usaha meningkatkan kualiti pekerjaan juga memerlukan latihan kemahiran yang disesuaikan dengan keperluan sebenar industri, termasuk kerjasama antara majikan dengan institusi latihan.

Katanya, keberkesanan program latihan itu perlu dinilai berdasarkan jumlah peserta yang berjaya mendapat pekerjaan, kekal bekerja serta menikmati peningkatan pendapatan.

Pada masa sama, Adly menyeru jentera PH supaya terus mengukuhkan gerak kerja dan mengekalkan fokus di semua kerusi yang ditandingi hingga hari terakhir kempen, selain mengingatkan pengundi yang berada di luar Melaka supaya merancang perjalanan pulang untuk menunaikan tanggungjawab pada Sabtu ini.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/pm/melaka/2026/.

-- BERNAMA