Ekonomi 11/11/2026 12:24 PM

PETRA Pertimbang Lanjut tempoh Pelaksanan Program Suria MADANI - TPM Fadillah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PETRA Pertimbang Lanjut tempoh Pelaksanan Program Suria MADANI - TPM Fadillah

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sedang menilai kemungkinan menambah baik atau melanjutkan pelaksanaan Program Suria MADANI atau SuRIA Home (Sustainable Rebate and Incentive Assistance Home) selepas tempoh pelaksanaannya berakhir pada 31 Disember, 2026.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerajaan masih meneliti keperluan untuk meneruskan program berkenaan tahun depan.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa pengguna yang telah memohon dan mendapat kelulusan akan tetap layak menerima rebat ditawarkan, meskipun pemasangan sistem solar di kediaman mereka belum selesai selepas program itu tamat.

Pemasangan bagi pemohon yang telah diluluskan perlu disiapkan selewat-lewatnya pada Mac, 2027 bagi membolehkan mereka menikmati rebat berkenaan, katanya.

"Berhubung kait dengan Suria Madani, kita masih ada baki RM90 juta. Jadi, memang kita akan sambungkan.

"Bagi mereka yang telah memohon dan permohonan diluluskan, mereka akan dapat meneruskan pemasangan solar dengan syarat solar mesti disiapkan pemasangan sehingga Mac tahun depan dan mereka akan masih dapat rebat yang telah diputuskan oleh kerajaan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai tempoh program Suria Madani selepas 31 Disember, 2026 serta jaminan PETRA kepada penerima kelulusan Solar ATAP yang belum selesai pemasangan apabila program berakhir.

Terdahulu, menjawab mengenai pencapaian terkini program Solar ATAP dan SuRIA Home, Fadillah berkata sebanyak 24,291 permohonan di bawah program Solar Atap dengan kapasiti keseluruhan 391.85 megawatt (MW) telah diluluskan setakat 15 September, 2026, berbanding pada 30 April, 2026 kapasiti diluluskan ketika itu hanya sekitar 135.92MW. 

"Ini bermakna kelulusan kapasiti meningkat sebanyak hampir 190 peratus dalam tempoh 4.5 bulan," katanya.

Program Solar ATAP yang bermula pada 1 Januari, 2026 dilaksanakan secara terbuka tanpa kuota khusus, membolehkan pengguna domestik, komersial, industri dan kategori lain memasang sistem solar bagi kegunaan sendiri.

Bagi meningkatkan kemampuan pengguna domestik, kerajaan memperkenalkan program Suria Madani dengan peruntukan RM150 juta, menawarkan rebat RM600 bagi setiap satu kilowatt (kW), sehingga maksimum RM3,000 bagi pemasangan sistem solar berkapasiti 5kW.

Program itu menyasarkan antara 45,000 hingga 50,000 kediaman, tertakluk kepada kuota kapasiti 250 MW, ia dijadualkan berakhir pada 31 Disember, 2026.

Sehingga 15 September, 2026, seramai 12,374 pengguna domestik telah menerima rebat berjumlah RM36.2 juta.

Selain rebat langsung, Fadillah berkata pengguna juga mempunyai pilihan untuk mendapatkan pemasangan solar melalui model pembiayaan pasaran seperti solar leasing atau rent-to-own yang dapat mengurangkan keperluan modal awal.

PETRA akan terus menilai prestasi Solar ATAP dan SuRIA Home, termasuk kos pemasangan serta pilihan pembiayaan, bagi memperluas manfaat peralihan tenaga kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40), dengan mengambil kira kemampuan fiskal kerajaan dan keberkesanan penyaluran bantuan, katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan turut memberi perhatian kepada aspek keselamatan pemasangan sistem solar serta risiko manipulasi harga oleh pembekal atau pemasang yang tidak berdaftar.

Menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mengenai mekanisme perlindungan pengguna, beliau berkata pemasangan sistem solar perlu dilakukan oleh pihak berkelayakan dan berdaftar bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian keselamatan.

Beliau menasihatkan pengguna supaya merujuk PETRA, Tenaga Nasional Bhd (TNB) atau Suruhanjaya Tenaga (ST) sebelum mendapatkan perkhidmatan pemasangan bagi mengelakkan risiko manipulasi harga dan kualiti sistem.

"Memang kita nak galakkan pemasangan ini mesti dibuat oleh mereka yang berdaftar sebab ciri-ciri keselamatan amat penting sekali.

"Bila solar ini dipasang, kedudukan rumah itu adalah selamat dari segi pematuhan dari segi standard dan sebagainya," katanya.

Beliau turut meminta pengguna yang berdepan masalah dengan pemasang tidak berdaftar supaya merujuk kepada kementerian untuk tindakan siasatan.

-- BERNAMA