JOHOR BAHRU, 10 Nov (Bernama) -- Kesesakan lalu lintas dihadapi pengguna jalan raya akibat banjir kilat di Batu 13 3/4, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi semalam, akan ditangani menerusi pelaksanaan rancangan jangka pendek dan panjang.
Ahli Dewan Undangan Negeri Tiram Datuk Abdul Halim Suleiman berkata rancangan jangka pendek memfokuskan kepada kerja-kerja pembersihan dan pendalaman kolam takungan air berhampiran oleh pihak pemaju bagi mengelak daripada limpahan ketika hujan lebat.
Beliau berkata langkah penyelesaian berfasa itu diputuskan hasil lawatan dan perbincangan bersama-sama pihak berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), pemaju, konsesi dan polis hari ini.
"Tempat takungan air yang dibina pemaju kekurangan penyelenggaraan, tidak diselenggara dengan baik sehingga (jika) air terlalu banyak, ia melepasi daripada had kawasan takungan tersebut.
"Saya telah meminta pihak pemaju dan mereka bersetuju dalam masa satu minggu ini untuk mendalamkan dan membersihkan kolam tadahan ataupun takungan air itu," katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian di sini hari ini.
Abdul Halim berkata banjir kilat di jalan Persekutuan itu telah berlaku dua kali tahun ini.
Beliau berkata laluan terbabit turut berdepan masalah aliran air pada sistem pembetung yang menampung aliran dari beberapa kawasan sekitar termasuk dari Bukit Tiram, Bandar Tiram dan Taman Intan.
“Keadaan itu sekali gus menyebabkan pertembungan air sehingga melimpah ke atas permukaan jalan raya dan menyebabkan kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak,” katanya.
Abdul Halim berkata berdasarkan perbincangan, perancangan jangka panjang perlu dilaksanakan bagi menggantikan pembetung sedia ada dengan kos kira-kira RM3 juta.
Beliau pada masa sama berharap agar penyelesaian komprehensif menerusi perancangan berkenaan dapat memberi keselesaan serta keselamatan kepada penduduk setempat dan pengguna jalan raya.
Semalam tular beberapa gambar melalui media sosial memaparkan banjir kilat di jalan raya berkenaan.
-- BERNAMA