Am 09/11/2026 09:57 PM

ITU PP-26: Malaysia Bangunkan Pelan Nasional Kriptografi Pascakuantum - Fahmi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
ITU PP-26: Malaysia Bangunkan Pelan Nasional Kriptografi Pascakuantum - Fahmi
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil bercakap ketika ditemui BERNAMA selepas menghadiri Meja Bulat Peringkat Menteri yang diadakan bersempena dengan Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) 2026 (PP-26) di Pusat Pameran dan Konvensyen Doha (DECC). --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

DOHA, 9 Nov (Bernama) -- Malaysia sedang membangunkan pelan nasional bagi peralihan infrastruktur maklumat kritikal negara kepada kriptografi pascakuantum sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keselamatan siber, dan mempersiapkan negara menghadapi ancaman baharu susulan perkembangan pengkomputeran kuantum.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata beliau telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan syarikat telekomunikasi bagi mewujudkan ruang penyelidikan dan pembangunan (R&D). 

Beliau berkata inisiatif itu membolehkan pihak berkepentingan menguji penyelesaian secara bersama serta mempercepat peralihan kepada kriptografi tahan kuantum dengan cara yang selamat dan terselaras.

“Seiring perkembangan komunikasi kuantum, kerajaan dan pemain industri perlu membina keyakinan serta memastikan saling kendali melalui penggunaan piawaian bersama, pengujian peralatan dan peralihan secara berperingkat kepada kriptografi tahan kuantum tanpa menjejaskan perkhidmatan penting.

“Malaysia sedang membangunkan pelan nasional untuk beralih kepada penggunaan kriptografi pascakuantum bagi infrastruktur maklumat penting negara. Saya telah meminta MCMC mengadakan perbincangan dengan MKN, NACSA dan pengendali telekomunikasi berhubung ruang untuk R&D.

“Langkah itu membolehkan kita menguji penyelesaian secara bersama-sama dan mempercepat peralihan itu dengan selamat,” katanya ketika menyampaikan kenyataan dasar Malaysia pada Persidangan Perwakilan Penuh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) 2026 (PP-26) di sini hari ini.

Semalam, Fahmi berkata beliau telah meminta MCMC mengadakan perbincangan dengan MKN, NACSA dan syarikat telekomunikasi bagi meneroka potensi kerjasama untuk memudahkan peralihan kepada teknologi kuantum di Malaysia dengan lebih pantas dan selamat.

Migrasi kuantum merujuk kepada proses menaik taraf sistem keselamatan digital sedia ada kepada teknologi penyulitan yang mampu melindungi data daripada cabaran teknologi pengkomputeran kuantum pada masa hadapan.

Fahmi kini dalam rangka lawatan kerja di Doha dari 6 hingga 11 Nov untuk mengetuai delegasi Malaysia ke ITU PP-26.

Beliau diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran.

Turut menyertai delegasi Malaysia ialah wakil MCMC dan syarikat telekomunikasi, termasuk Telekom Malaysia (TM), CelcomDigi, Maxis dan U Mobile.

Sebagai agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) khusus untuk teknologi digital, ITU memainkan peranan penting dalam kerjasama telekomunikasi antarabangsa, penyelarasan spektrum radio serta usaha merapatkan jurang digital global.

-- BERNAMA