KOTA KINABALU, 9 Nov (Bernama) -- Sebanyak 40 kampung di sekitar kawasan Pagalungan, Nabawan menerima agihan anak pokok buah-buahan bagi memacu sektor pertanian setempat selaras dengan agenda Program Penghijauan Malaysia.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata sumbangan yang merangkumi anak benih durian, nangka dan rambutan itu diagihkan ketika beliau merasmikan Program Kesedaran Awam sempena kempen penghijauan di Pekan Pagalungan hari ini.
“Kawasan Parlimen Pensiangan adalah unik dan istimewa kerana liputan hutannya sekitar 85 peratus dan kami adalah penyumbang besar kepada agenda mengimbangi perubahan iklim.
“Saya mahu kawasan Parlimen Pensiangan menjadi contoh kepada negara dalam mengimbangi keperluan kemajuan infrastruktur dengan tanggungjawab memelihara kelestarian alam sekitar,” katanya dalam perkongsian di laman Facebooknya hari ini.
Arthur berkata pengagihan tanaman buah-buahan itu bermatlamat menjana ekonomi komuniti desa serta meningkatkan pendapatan rakyat luar bandar secara mampan.
Beliau berkata kepesatan pembangunan di kawasan Sapulut, Pagalungan dan Pensiangan kini digerakkan melalui penyiapan projek naik taraf laluan jalan raya sehingga ke Pekan Pensiangan serta pembinaan kilang kopi Sapulut.
Sektor peruncitan setempat turut menerima manfaat menerusi penyiapan kerja menaik taraf bangunan tamu dan pasar awam bagi kegunaan penjaja kecil di kawasan pedalaman berkenaan.
Menurut Arthur, kemudahan jaringan jalan raya yang semakin selesa memudahkan pelbagai urusan logistik penduduk, pelaksanaan program kemasyarakatan serta pembukaan peluang ekonomi baharu.
Bagi memperkukuh pemeliharaan khazanah alam, beberapa jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan dengan sektor perhutanan turut menyampaikan taklimat pengurusan alam sekitar kepada komuniti sepanjang program berlangsung.
Pada majlis berkenaan, Arthur turut mengagihkan lebih 100 bakul makanan kepada golongan yang memerlukan bagi meringankan kos sara hidup keluarga rentan.
-- BERNAMA