Dunia 09/11/2026 10:12 PM

El Nino Dijangka Burukkan Wabak Penyakit, Risiko Haba Sehingga 2027: Ketua WMO

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
El Nino Dijangka Burukkan Wabak Penyakit, Risiko Haba Sehingga 2027: Ketua WMO

ANTALYA (Turkiye), 9 Nov (Bernama-Anadolu) -- Fenomena El Nino boleh memburukkan lagi penyakit berkaitan haba, penularan wabak dan pencemaran udara sehingga 2027, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) Celeste Saulo pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi.

Bercakap pada taklimat media COP31 di Antalya, Saulo berkata suhu melebihi purata berupaya mencetuskan ancaman kesihatan yang melangkaui pendedahan langsung kepada cuaca panas melampau.

"Kami juga sedang membicarakan mengenai penularan wabak denggi, wabak malaria," katanya, sambil menjelaskan bahawa risiko itu berbeza-beza bergantung kepada corak taburan hujan mengikut rantau.

"Sekiranya kami menjangkakan musim panas dan kering, kebakaran hutan akan berlaku. Apabila kebakaran hutan berlaku, kualiti udara pula akan merosot," katanya.

Saulo berkata WMO sedang bekerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian maklumat berhubung risiko kesihatan berkaitan cuaca.

"Kami bekerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi menterjemahkan mesej mengenai corak cuaca kepada impak kesihatan," katanya.

Menurut laporan Kemas Kini Status Iklim 2026 oleh WMO, El Nino dijangka menjadi yang paling kuat pernah direkodkan menjelang Disember dan berlarutan sehingga awal 2027.

Laporan itu menyatakan purata suhu global mencecah kira-kira 1.47 darjah Celsius melebihi tahap praindustri antara Januari dan September.

Kebiasaannya, El Nino memberi impak terbesar terhadap suhu global pada tahun berikutnya selepas pembentukannya, menurut laporan itu lagi.

"Kita sedang memacu cuaca ke tahap melampau dan El Nino akan bertindak sebagai pengganda risiko," kata Saulo dalam satu kenyataan yang mengiringi laporan itu.

"Gelombang haba, siklon tropika serta hujan ribut semakin memuncak lebih pantas berbanding sejarah garis dasar yang disediakan untuk kita," katanya memberi amaran.

-- BERNAMA-ANADOLU