Daripada Samantha Tan Chiew Tieng
DOHA, 9 Nov (Bernama) -- Malaysia menggesa pendekatan lebih menyeluruh terhadap ketersambungan digital global, yang bukan hanya tertumpu kepada kawasan berpenduduk, malah merangkumi lokasi ekonomi utama seperti pelabuhan, rangkaian kereta api dan lebuh raya, memandangkan akses Internet semakin penting bagi pertumbuhan dan daya tahan ekonomi.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata Malaysia sedang meneroka konsep Coverage of Economic Areas (CoEA) untuk melengkapkan pendekatan sedia ada, iaitu liputan kawasan berpenduduk (CoPA), sekali gus mencerminkan kepentingan infrastruktur digital dalam menyokong aktiviti ekonomi dan pembangunan negara.
Beliau berkata Malaysia berharap Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) akan meneroka konsep itu bersama-sama negara anggota sebagai pendekatan tambahan untuk menilai ketersambungan dan memajukan pembangunan digital yang inklusif serta mampan.
"Berpandukan kemajuan itu, kita kini meneliti bagaimana untuk memperluas liputan melangkaui CoPA, dan turut merangkumi Coverage of Economic Areas (CoEA). Ini bermakna liputan perlu diperluas ke lokasi seperti pelabuhan, rangkaian kereta api dan lebuh raya, yang memerlukan akses Internet stabil bagi menyokong operasi perniagaan, pertumbuhan ekonomi dan daya tahan,” katanya.
Fahmi berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan dasar negara pada Persidangan Perwakilan Penuh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) 2026 (PP-26) di sini hari ini.
Beliau berkata Malaysia telah mencapai kemajuan yang ketara dalam memperluas infrastruktur digital menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), terutamanya di kawasan yang kurang mendapat liputan.
"Setakat September 2026, liputan Internet di kawasan berpenduduk di seluruh negara mencapai 99.75 peratus, manakala langganan 5G mencecah 31.3 juta," katanya.
Bagaimanapun, Fahmi berkata peluasan infrastruktur telekomunikasi hanyalah langkah permulaan ke arah transformasi digital yang bermakna.
Pada masa sama, usaha memastikan masyarakat memiliki kemahiran digital dan peluang untuk mendapat manfaat daripada peningkatan ketersambungan turut memainkan peranan penting.
"Bagi Malaysia, ketersambungan bukan sekadar mengenai infrastruktur. Sebaliknya, ia bertujuan mewujudkan peluang, memperkasa masyarakat dan meningkatkan kualiti hidup," katanya.
Fahmi berkata Malaysia terus memperkukuh keterangkuman digital menerusi 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), yang menyediakan kemudahan kepada masyarakat untuk meningkatkan kemahiran digital serta meneroka peluang keusahawanan.
Pada April 2026, NADI telah menyertai rangkaian Pusat Transformasi Digital ITU, sekali gus memperkukuh komitmen negara untuk memperkasakan masyarakat menerusi teknologi.
Mengenai keselamatan dalam talian, beliau berkata ketersambungan yang bermakna juga perlu disokong oleh persekitaran digital yang selamat dan dipercayai.
Fahmi berkata Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, yang berkuat kuasa pada Januari 2026, memperkukuh akauntabiliti penyedia platform serta melindungi pengguna Internet, terutama kanak-kanak, daripada kemudaratan dalam talian.
"Untuk memperkukuh usaha itu, Kempen Keselamatan Internet di seluruh negara telah mencapai lebih tiga juta peserta, dengan mempromosikan literasi digital dan tingkah laku bertanggungjawab ketika melayari Internet," katanya.
Sementara itu, Fahmi menegaskan semula komitmen Malaysia terhadap kerjasama antarabangsa dalam memajukan keutamaan digital, sambil menyatakan bahawa negara telah menjadi anggota ITU sejak 1958 dan kini menganggotai Majlis ITU.
Beliau turut berharap negara-negara anggota akan memberikan sokongan terhadap pencalonan Malaysia untuk dipilih semula sebagai anggota Majlis ITU bagi penggal 2027-2030.
“Marilah kita bekerjasama bagi memastikan semua pihak dapat menikmati manfaat digital yang saling terhubung, inklusif dan selamat,”| katanya.
Bertemakan "Together for A Connected, Digital Future", persidangan itu menghimpunkan negara anggota ITU bagi membincangkan keutamaan telekomunikasi global serta hala tuju pembangunan digital pada masa hadapan.
Fahmi kini dalam rangka lawatan kerja di Doha dari 6 hingga 11 Nov untuk mengetuai delegasi Malaysia ke ITU PP-26.
Beliau diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran.
Turut menyertai delegasi Malaysia ialah wakil MCMC dan syarikat telekomunikasi, termasuk Telekom Malaysia (TM), CelcomDigi, Maxis dan U Mobile.
Sebagai agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) khusus untuk teknologi digital, ITU memainkan peranan penting dalam kerjasama telekomunikasi antarabangsa, penyelarasan spektrum radio serta usaha merapatkan jurang digital global.
-- BERNAMA