Am 09/11/2026 10:35 AM

‘Damba Penawar’ Kisah Hidup Zehra Zambri

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
‘Damba Penawar’ Kisah Hidup Zehra Zambri

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Pengalaman hidup menjadi inspirasi penyanyi Zehra Zambri, 39, untuk menghasilkan single terbaharu berjudul Damba Penawar, sebuah karya balada yang menceritakan luahan isi hatinya.

Bekas finalis Gegar Vaganza musim ke-11 itu berkata lirik lagu tersebut yang menggambarkan segala kesedihan dan keperitan hidupnya sebelum ini, ditulis oleh komposer yang juga penulis lirik dari Singapura, Ahmad Tarmizi atau lebih dikenali sebagai T:zi.

“Saya berkongsi pengalaman peribadi dan kehendak saya dengan beliau bagi memastikan karya itu benar-benar mencerminkan kisah hidup saya.

Maju Johor

“Saya cakap dengan T:zi, boleh tak buat satu lirik yang betul-betul dekat dengan hidup saya. Daripada situlah lahirnya Damba Penawar,” katanya kepada Bernama selepas sidang media Islamic Fashion Festival (IFF) Kuala Lumpur 2026, di sini baru-baru ini.

Single terbitan HazelBayu Studios dari Singapura itu merupakan ciptaan T:zi, manakala susunan muzik dikendalikan oleh Eddie Marzuki dan kini boleh didengari menerusi semua platform digital.

Zehra berkata pemilihan genre balada bagi single terbaharunya mungkin mengejutkan peminat yang menjangkakan beliau kembali dengan lagu tradisional, namun pendekatan itu dianggap beliau lebih sesuai untuk menyampaikan kisah hidupnya yang sarat dengan emosi.

Maju Johor

Beliau yang sebelum ini tampil dengan single Satukan Jiwa ketika pandemik COVID-19, berkata kemunculan semulanya bukan bertujuan untuk bersaing dengan penyanyi generasi baharu, sebaliknya didorong minat mendalam terhadap bidang nyanyian yang diceburinya sejak kecil.

“Saya sudah lebih 20 tahun dalam industri. Kemunculan semula ini adalah kerana kekuatan dan minat saya dalam bidang seni. Saya menyanyi sejak kecil, jadi saya rasa perlu tampil dengan sesuatu yang baharu.

“Kalau lagu Damba Penawar tidak mendapat sambutan meluas sekalipun saya akan pastikan ada lagi lagu-lagu lain selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, Zehra bakal tampil sebagai penyanyi undangan pada acara IFF Kuala Lumpur 2026 yang dijadualkan berlangsung di sebuah hotel di sini dari 21 hingga 23 Nov ini.

Maju Johor

“Saya amat teruja apabila diundang buat kali ketiga oleh pengasas dan pengerusi IFF, Datuk Seri Raja Rezza Shah, dan jika ada ruang, saya berharap dapat memperdengarkan Damba Penawar pada acara itu,” katanya.

Sementara itu, Zehra yang kini membesarkan anaknya sebagai ibu tunggal, berkata beliau tidak berdepan masalah membahagikan masa antara tanggungjawab keluarga dan kerjaya seni, lebih-lebih lagi anaknya sudah bersekolah selain dibantu oleh ibu bapanya yang tinggal berdekatan.

Bekas kakitangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu juga mengakui beliau masih aktif mencari pekerjaan tetap, khususnya dalam bidang komunikasi dan kebudayaan, bagi  memperoleh pendapatan lebih stabil untuk menyara kehidupannya dan anak.

-- BERNAMA