Dunia 09/11/2026 10:17 AM

Kedutaan Malaysia Di Santiago Rai Deepavali, Perkukuh Diplomasi Budaya

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kedutaan Malaysia Di Santiago Rai Deepavali, Perkukuh Diplomasi Budaya
Kedutaan Malaysia di Santiago meraikan sambutan Deepavali pada Ahad sebagai sebahagian daripada usaha memperkenalkan warisan budaya negara secara lebih dekat kepada masyarakat antarabangsa, selain memberi peluang kepada komuniti rakyat Malaysia di perantauan merasai suasana sambutan seperti di tanah air. Kredit: Kedutaan Malaysia di Santiago

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Kedutaan Malaysia di Santiago meraikan sambutan Deepavali pada Ahad sebagai sebahagian daripada usaha memperkenalkan warisan budaya negara secara lebih dekat kepada masyarakat antarabangsa, selain memberi peluang kepada komuniti rakyat Malaysia di perantauan merasai suasana sambutan seperti di tanah air.

Majlis makan tengah hari yang dihoskan oleh Duta Besar Malaysia ke Chile R. Suresh Kumar dan Lt Kol Nirmala Krishna di Rumah Malaysia itu menjadi platform diplomasi budaya yang menghimpunkan rakyat Malaysia di Santiago serta tetamu dari Chile bagi mengeratkan hubungan dan memperkukuh pertukaran budaya.

Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan mengekalkan perpaduan ketika berada di negara asing berteraskan semangat Malaysia MADANI yang memperjuangkan keterangkuman, ihsan dan kemajuan mampan melalui sikap saling menghormati.

"Apabila berada jauh dari tanah air, semangat kebersamaan kita sebagai sebuah keluarga besar Malaysia menjadi lebih bermakna. 

"Meraikan kepelbagaian perayaan bersama-sama sentiasa menjadi asas kepada sikap saling menghormati yang menjadikan Malaysia sebuah negara progresif dan harmoni.

"Majlis seperti ini merupakan wadah penting dalam pelaksanaan diplomasi budaya melalui perkongsian makanan, tradisi dan nilai bagi memupuk empati, mempererat hubungan antara rakyat serta memperkenalkan identiti Malaysia sebagai sebuah negara yang terbuka dan majmuk kepada dunia," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan kedutaan itu.

Majlis berkenaan turut memperkenalkan keramahan Malaysia menerusi sajian autentik pelbagai hidangan tradisional India dan Malaysia termasuk nasi minyak sapi, kari ayam, peratel kambing berempah, sayur campur berempah serta pelbagai pencuci mulut tradisional Malaysia.

Bagi tetamu dari Chile, majlis itu memberi peluang untuk mengenali keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia, sekali gus memperlihatkan bagaimana kepelbagaian menjadi sumber kekuatan negara.

"Menerusi perkongsian hidangan, perbualan mesra dan dialog antara budaya, majlis ini berjaya meningkatkan persefahaman rentas budaya serta memperkukuh hubungan baik antara rakyat Malaysia dan Chile," menurut kenyataan itu.

Majlis berkenaan turut menegaskan kembali perpaduan berterusan dalam kalangan rakyat Malaysia di Santiago serta komitmen kedutaan untuk memanfaatkan diplomasi budaya bagi memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Chile.

-- BERNAMA