Am 06/11/2026 10:57 AM

Bursa Malaysia Dibuka Rendah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Bursa Malaysia Dibuka Rendah

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Jumaat, dengan tekanan jualan menguasai dagangan selepas Wall Street semalaman mencatatkan penurunan berikutan kebimbangan baharu mengenai saham berkaitan kecerdasan buatan (AI).

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menurun 16.50 mata atau satu peratus kepada 1,619.36 daripada 1,635.86 semasa ditutup pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 15.31 mata kepada 1,620.55.

Pasaran secara menyeluruh negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 640 berbanding 67 manakala 155 kaunter tidak berubah, 1,911 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 391.82 juta unit bernilai RM206.90 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup rendah berikutan kejatuhan saham berkaitan AI, mendorong sesetengah pelabur memindahkan dana mereka kepada Perbendaharaan AS.

Beliau berkata hasil Perbendaharaan AS untuk tempoh 10 tahun merosot kepada 4.843 peratus apabila dana beralih kepada Perbendaharaan AS berikutan penjualan ekuiti.

“Di pasaran tempatan, kita mungkin menyaksikan impak daripada kejatuhan ekuiti AS dan peniaga mungkin berasa bimbang, walaupun hanya untuk sementara waktu.

“Oleh itu, kami menjangka indeks berada dalam julat 1,630 hingga 1,640 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan 30 konstituen FBM KLCI, 24 kaunter diniagakan rendah, empat meningkat dan dua lagi tidak berubah.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank, masing-masing menurun enam sen kepada RM10.10 dan RM4.90, CIMB berkurangan lapan sen kepada RM7.07, Tenaga Nasional merosot 12 sen kepada RM12.98 manakala IHH Healthcare meningkat lima sen kepada RM7.77.

Dalam dagangan aktif, Zetrix AI naik satu sen kepada tujuh sen, VS Industry menurun dua sen kepada 30 sen, Supermax dan Dagang Nexchange, masing-masing berkurangan 1.5 sen kepada 45 sen dan 38.5 sen serta Nationgate menyusut 13 sen kepada RM1.74.

Kaunter paling untung ialah Hengyuan Refining, meningkat lapan sen kepada RM3.13, Petronas Gas naik enam sen kepada RM17.36, Spritzer menambah empat sen kepada RM3.67, Eco World Development dan Hibiscus Petroleum, masing-masing menokok dua sen kepada RM1.92 dan RM1.93.

Kaunter paling rugi ialah MPI menurun RM2.28 kepada RM36.60, Nestle berkurangan RM1.20 kepada RM94.80, Kelington merosot 57 sen kepada RM7.37, Vitrox menyusut 48 sen kepada RM10.12 dan UWC menurun 44 sen kepada RM6.15.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 169.54 mata kepada 11,965.30 dan Indeks FBM Top 100 menyusut 160.67 mata kepada 11,801.66.

Indeks FBM Mid 70 berkurangan 401.37 mata kepada 16,953.36, Indeks FBM Emas Shariah menurun 194.27 mata kepada 11,812.83 dan Indeks FBM ACE merosot 177.48 mata kepada 5,145.17.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 3.18 mata kepada 172.07, Indeks Tenaga merosot 12.29 mata kepada 794.18, Indeks Perkhidmatan Kewangan menurun 162.77 mata kepada 18,966.14 dan Indeks Perladangan menyusut 52.96 mata kepada 8,731.27.

-- BERNAMA