Am 01/11/2026 06:59 PM

Pertambahan Laluan Pengangkutan Perkukuh Sektor Pelancongan Indonesia-Johor - KJRI

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pertambahan Laluan Pengangkutan Perkukuh Sektor Pelancongan Indonesia-Johor - KJRI
fb Bay Ferry

ISKANDAR PUTERI, 1 Nov (Bernama) -- Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) menyifatkan penambahan perkhidmatan feri dan laluan penerbangan antara Johor dengan Indonesia wajar dilaksanakan susulan ketibaan 1.5 juta pelancong republik itu ke negeri berkenaan, tahun lepas.

Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru Sigit S. Widiyanto berkata pengukuhan aspek keterhubungan adalah antara kunci dalam memastikan mobiliti antara kedua-dua kawasan terus dipertingkatkan.

Beliau berkata langkah itu perlu dilaksanakan bagi menyokong sektor pelancongan kesihatan di Johor memandangkan 79 peratus daripada 127,000 pesakit antarabangsa ke negeri ini bagi tempoh sama ialah warga Indonesia.

“Kami menyokong pembukaan (penambahan) laluan kerana langkah itu akan meningkatkan lagi (jumlah pelancong) dan pasti menguntungkan kedua-dua belah pihak,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Perkhidmatan Feri Baharu dan Pengenalan Laluan Puteri Harbour–Gold Coast Bengkong, Batam, di sini hari ini.

Sigit berkata daripada 11 laluan feri penumpang antara Malaysia dengan Indonesia, lapan berada di Johor, manakala laluan udara dari negara berkenaan ke negeri ini pula hanya menghubungkan Jakarta dan Surabaya.

Beliau berkata Malaysia secara amnya penyumbang dalam sektor pelancongan Indonesia dengan 40 peratus penumpang antarabangsa menggunakan pengangkutan kereta api laju Whoosh ialah rakyat Malaysia.

Berkaitan isu keselamatan di sempadan, Sigit berkata KJRI sentiasa bekerjasama rapat dan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa di Indonesia bagi membanteras sindiket membawa pendatang tanpa izin yang dikesan menawarkan perkhidmatan di media sosial.

Sigit berkata pelbagai langkah pencegahan termasuk tindakan menurunkan iklan sindiket bot haram telah berjaya dilaksanakan, sekali gus menunjukkan trend penurunan dalam kegiatan berkenaan.

Terdahulu, syarikat perkhidmatan feri dari Indonesia, B Ferry melancarkan laluan feri antarabangsa yang menghubungkan Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbor di sini, dengan Terminal Feri Gold Coast Bengkong, di Batam.

Bengkong terletak di sebelah barat Batam merupakan kawasan yang sedang berkembang dengan pelbagai tempat tarikan baharu.

B Ferry dalam kenyataan memaklumkan pembukaan laluan itu ialah langkah penting dalam memperkukuh hubungan antara Johor dengan Batam, selain bersempena dengan Tahun Melawat Johor 2026.

“Pembukaan ini diharap memberikan manfaat melalui ekonomi pelancongan, meningkatkan kedatangan pelancong, menjaga pendapatan negeri serta membuka peluang perniagaan dan pekerjaan kepada masyarakat setempat,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA