KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Kempen Malaysia di Terbuka Hylo 2026 berakhir di separuh akhir selepas beregu lelaki kebangsaan Aaron Tai-Yap Roy King dan gandingan beregu campuran profesional Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing, gagal mara ke perlawanan akhir di Saarbrucken, Jerman hari ini.
Aaron-Roy King terpaksa berputih mata, selepas mensia-siakan kelebihan pada set pembukaan kepada pasangan Denmark Christian Faust Kjaer-Rasmus Kjaer, sebelum akhirnya akur tewas 21-18, 15-21, 18-21 dalam aksi 59 minit di Saarlandhalle.
Pang Ron-Pei Jing juga terlepas peluang untuk membuat penampilan pada pentas akhir buat kali kedua berturut-turut, apabila tewas selepas memberi tentangan sengit kepada pilihan kedua dari Perancis Thom Gicquel-Delphine Delrue, dengan keputusan 20-22, 21-16, 17-21 dalam pertarungan selama 70 minit.
Kekalahan itu meleburkan harapan mereka untuk mengulangi pencapaian mara ke perlawanan akhir Terbuka Perancis 2026 pada minggu lepas, yang mana mereka muncul sebagai naib juara selepas tunduk kepada gandingan nombor satu dunia dari China Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, 10-21, 13-21.
-- BERNAMA