KOTA BHARU, 29 Okt (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 185 anak pokok pelbagai jenis yang disyaki diseludup dari Thailand menerusi laluan tidak diwartakan di Jeram Perdah, Pasir Mas, hari ini.
Rampasan dalam operasi Ops Taring Wawasan Kelantan kira-kira 2 petang itu turut melibatkan sebuah lori bernilai RM150,000, menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM157,325.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata operasi oleh Strike Force Kompeni B Batalion 9 PGA dengan bantuan Jabatan Pertanian Negeri Kelantan itu dijalankan selepas anggota mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan Rantau Panjang-Jeram Perdah. .
“Pemandu lori berkenaan, seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun, ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki membawa masuk anak pokok itu menggunakan laluan yang tidak diwartakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata hasil soal siasat mendapati anak pokok nyamuk, teratai dan kemboja itu dipercayai untuk dihantar kepada peniaga di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini.
Katanya, lelaki itu memaklumkan menerima upah antara RM100 hingga RM120 bagi setiap penghantaran dan mendakwa tidak mengetahui sumber asal anak pokok berkenaan kerana hanya menjalankan tugas penghantaran yang diatur majikannya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167) dan tangkapan serta rampasan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA