Am 29/10/2026 11:26 PM

Bernama Raih Empat Kemenangan Pada Anugerah Apresiasi Media Terengganu 2026

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Bernama Raih Empat Kemenangan Pada Anugerah Apresiasi Media Terengganu 2026

KUALA TERENGGANU, 29 Okt (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) terus melakar kejayaan apabila dua jurufotonya merangkul empat anugerah pada Anugerah Apresiasi Media Terengganu 2026 malam ini.

Jurufoto Mohd Khairul Fikiri Osman memenangi tempat pertama kategori Foto Terbaik Media Digital melalui fotonya “Sara Hidup Nelayan” dan tempat ketiga bagi kategori Foto Terbaik Media Cetak melalui karyanya “Menyusuri Banjir”.

Jurufoto sambilan Mohd Syafiq Ambak pula mengungguli kategori Foto Terbaik Media Cetak apabila karyanya bertajuk “Mok Nyadat” diumumkan sebagai johan manakala fotonya bertajuk “Antara Cuaca dan Rezeki” mendapat naib johan bagi kategori Foto Terbaik Media Digital.

Hadiah pada anugerah anjuran Kerajaan Negeri Terengganu itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah mewakili Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Terdahulu, Wan Sukairi dalam ucapannya berkata majlis pada malam ini merupakan penghargaan kerajaan negeri terhadap usaha pengamal media sama ada wartawan atau jurufoto yang menjadi pengantara antara kerajaan dengan masyarakat.

“Tugas pengamal media bukan sekadar membuat liputan ucapan, mendapatkan sudut rakaman terbaik atau menemu bual individu berkaitan, malah mereka turut perlu mendapatkan reaksi dan menyiapkan laporan dalam tempoh ditetapkan.

“Majlis ini memberi ruang untuk menghargai usaha di sebalik setiap laporan berita, foto dan rakaman yang dihasilkan, sekali gus mengiktiraf peranan pengamal media,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri mahu hubungan dengan organisasi media terus diperkukuh berasaskan profesionalisme, keterbukaan dan sikap saling menghormati dalam memastikan penyampaian maklumat kepada masyarakat dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab.

 -- BERNAMA