KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengumumkan Pelan Tindakan SCALE 2027 bagi menangani cabaran struktur perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), termasuk masalah pembayaran lewat dan kesukaran mendapatkan pembiayaan.
Menterinya Steven Sim berkata pelan itu menggariskan lima keutamaan strategik meliputi penakrifan semula PMKS, perlindungan aliran tunai, penerapan kecerdasan buatan (AI), keperluan kandungan tempatan dan usaha mempermudah pembiayaan.
“Strategi ABCD (Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran) KUSKOP akan terus dilaksanakan bagi menangani cabaran segera yang dihadapi perniagaan.
“Pada masa sama, Pelan Tindakan SCALE akan melengkapi strategi itu dengan memberi tumpuan kepada reformasi struktur jangka panjang bagi membantu PMKS berkembang, meningkatkan daya saing dan beralih kepada aktiviti bernilai tambah lebih tinggi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau mengumumkan pelan itu ketika berucap pada Forum CEO PMKS Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) 2026.
Sehubungan dengan itu, Sim berkata kementerian akan mengkaji semula takrifan PMKS yang diguna pakai sejak 2013 ketika teknologi seperti AI belum digunakan secara meluas bagi memastikannya lebih mencerminkan landskap perniagaan semasa serta selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.
Selain itu, bagi melindungi aliran tunai dan memperkukuh kedudukan kewangan PMKS, KUSKOP akan meneliti langkah menangani masalah pembayaran lewat serta penahanan bayaran yang berpanjangan agar perniagaan kecil tidak terus dibebani keadaan seolah-olah terpaksa memberikan kredit tanpa faedah kepada syarikat besar.
“Dalam aspek teknologi, kementerian akan mengutamakan usaha membantu PMKS menerapkan AI dalam pelbagai aspek operasi perniagaan bagi meningkatkan pengeluaran, produktiviti dan nilai tambah tanpa bergantung semata-mata pada waktu bekerja lebih panjang, selain menyokong peralihan model pertumbuhan ekonomi daripada “Made in Malaysia” kepada “Made by Malaysia”,” katanya.
Beliau berkata KUSKOP akan meneroka pelaksanaan keperluan kandungan tempatan bagi memastikan PMKS Malaysia mendapat manfaat lebih besar dan secara langsung daripada pertumbuhan ekonomi serta pelaburan berskala besar termasuk pelaburan langsung asing (FDI).
Katanya kementerian juga akan mempertimbangkan garis panduan bersesuaian dan sekiranya perlu langkah perundangan bagi meningkatkan penyertaan PMKS tempatan dalam rantaian bekalan serta projek pelaburan.
Bagi mempermudah pembiayaan, Sim berkata KUSKOP akan bekerjasama dengan kementerian berkaitan, institusi kewangan dan Bank Negara Malaysia bagi menangani peraturan yang tidak lagi relevan serta halangan lain yang menyukarkan PMKS mendapatkan pembiayaan, selain meneroka kaedah memudahkan akses kepada sumber pembiayaan alternatif di luar institusi kewangan tradisional.
“Sepanjang tahun ini, KUSKOP memberikan tumpuan kepada usaha mempercepat peningkatan produktiviti, mengurangkan karenah birokrasi serta memperluas akses kepada modal dan pasaran menerusi Strategi ABCD,” katanya.
Beliau pada masa sama menyeru pemain industri agar merebut peluang menerusi Belanjawan 2027 dan mempersiapkan perniagaan masing-masing bagi fasa pertumbuhan seterusnya.
Sementara itu, menerusi kenyataan sama KUSKOP memaklumkan berdasarkan pengiraan SME Corp Malaysia, jumlah keseluruhan peruntukan dan sokongan untuk sektor PMKS di bawah Belanjawan 2027 adalah sebanyak RM67.9 bilion, merangkumi pembiayaan, jaminan pembiayaan, geran, latihan, sumber dan pelbagai program.
Daripada jumlah itu, RM57 bilion disediakan melalui kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan, meningkat berbanding RM50 bilion pada 2026.
Kenyataan itu turut memaklumkan setakat 30 Sept, KUSKOP telah menyalurkan RM10.5 bilion kepada kira-kira 295,000 usahawan dan PMKS di seluruh negara, berbanding sasaran RM15 bilion bagi tahun ini.
-- BERNAMA