Am 22/10/2026 09:32 PM

Niaga Hadapan MSM Meningkat Susulan Kenaikan Minyak Soya, Prospek Eksport

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Niaga Hadapan MSM Meningkat Susulan Kenaikan Minyak Soya, Prospek Eksport
-- Gambar hiasan

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi pada Khamis, menjejaki pengukuhan niaga hadapan minyak soya di Chicago Board of Trade (CBOT), manakala anggaran eksport minyak sawit yang lebih kukuh turut menyokong sentimen pasaran.

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata eksport minyak sawit mencatatkan pertumbuhan peratusan yang ketara meskipun jumlah eksport pada September 2026 lebih rendah.

“Eksport minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1 hingga 20 Okt dianggarkan oleh pemeriksa kargo Intertek Testing Services (ITS) sebanyak 1.13 juta tan, meningkat 58.51 peratus, manakala AmSpec menganggarkan sebanyak 1.08 juta tan, meningkat 78.41 peratus berbanding anggaran eksport masing-masing bagi tempoh 1 hingga 20 Sept,” katanya kepada Bernama.

Beliau turut berkata, meskipun eksport kekal kukuh, ketidaktentuan masih wujud berhubung kemungkinan pengecualian cukai eksport minyak sawit Malaysia.

“Kerajaan Malaysia belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai kemungkinan pengecualian cukai eksport. Oleh itu, tumpuan pasaran beralih kepada peningkatan inventori, manakala kemungkinan cukai eksport minyak sawit Indonesia diturunkan sebanyak dua tahap pada November mengehadkan kenaikan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata jumlah terkumpul eksport minyak sawit meningkat 4.3 peratus tahun ke tahun dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026, meskipun eksport pada September merosot 12.1 peratus kepada 1.12 juta tan.

Majlis itu memaklumkan kekurangan ketersediaan kapal di Selat Melaka dan persaingan yang meningkat daripada Indonesia turut menjejaskan eksport bulanan.

“Bagaimanapun, prestasi eksport yang lemah pada September dijangka bersifat sementara. Penghantaran diunjurkan meningkat dengan ketara antara Oktober hingga Disember susulan ketersediaan lebih banyak kapal dan bekalan minyak lembut yang lebih ketat,” menurut MPOC dalam satu kenyataan.

Pada penutupan dagangan, kontrak November 2026 meningkat RM29 kepada RM4,551 satu tan, kontrak Disember 2026 naik RM33 kepada RM4,695, manakala kontrak Januari 2027 menambah RM25 kepada RM4,792.

Kontrak Februari 2027 meningkat RM17 kepada RM4,885 satu tan, kontrak Mac 2027 menokok RM10 kepada RM4,967, manakala kontrak April 2027 naik RM6 kepada RM5,020.

Jumlah dagangan susut kepada 78,548 lot daripada 119,654 lot pada Rabu, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 336,766 kontrak daripada 335,340 kontrak sebelum ini.

Harga fizikal MSM bagi November Selatan susut RM20 kepada RM4,530 satu tan.

-- BERNAMA