KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM92.90 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2026, berbanding RM94.58 juta pada suku ketiga 2025.
Hasil susut 0.3 peratus kepada RM227.29 juta daripada RM227.88 juta sebelumnya, terutamanya berikutan pendapatan pengiklanan yang lebih rendah di Elite Pavilion Mall, menurut pemfailan kepada Bursa Malaysia.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, keuntungan bersih meningkat kepada RM287.74 juta daripada RM263.66 juta setahun sebelumnya, manakala hasil naik kepada RM694.20 juta berbanding RM669.39 juta sebelumnya.
Menurut syarikat itu, peningkatan hasil bagi tempoh sembilan bulan berkenaan didorong terutamanya oleh pendapatan sewa daripada dua hotel yang baru diperoleh pada 20 Jun 2025, serta Pavilion Bukit Jalil, disokong oleh kadar penghunian yang kekal stabil.
Mengenai prospek, syarikat memaklumkan pihaknya akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta persatuan berkaitan bagi menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, di samping menguruskan hartanahnya secara proaktif bagi memastikan pengagihan pendapatan yang stabil kepada pemegang unit.
-- BERNAMA