Am 22/10/2026 09:12 PM

Tambang ECRL Berpatutan, Mampu Dibeli Golongan B40 - Wan Rosdy

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Tambang ECRL Berpatutan, Mampu Dibeli Golongan B40 - Wan Rosdy
Kredit: FB - Pahang Media

KUANTAN, 22 Okt (Bernama) -- Kadar tambang perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang diumumkan baru-baru ini dianggap berpatutan dan mampu dibeli golongan berpendapatan rendah.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata penetapan tambang itu dibuat berasaskan mekanisme tambang dinamik, selain kadarnya disifatkan tidak jauh berbeza daripada tambang bas.

"Saya rasakan ia berpatutan dan mampu ditanggung mereka yang berpendapatan rendah, golongan B40 pun saya fikir mampu kerana harganya tidak lari jauh sangat dengan tambang bas.

“Kalau dibandingkan dengan kapal terbang, lagi (mahal)," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Apresiasi sempena Tamat Kursus Pelatih Akademi Rel Pahang (ARP) Program PLKI-ECRL Sesi 2025/26 di Kompleks Yayasan Pahang di sini hari ini 

Dalam pada itu, beliau berkata berdasarkan maklum balas di media sosial terhadap kadar tambang itu juga secara umumnya positif, walaupun terdapat segelintir pihak mempunyai pandangan berbeza.

Mengulas kemungkinan pemberian diskaun atau keistimewaan tambang kepada anak Pahang, beliau berkata perkara itu perlu dibincangkan dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) kerana ia berada di luar bidang kuasanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya juga bersedia meneruskan pembiayaan latihan teknikal anak negeri bagi memenuhi keperluan tenaga kerja berkemahiran untuk operasi ECRL, selari dengan cadangan pihaknya untuk melebarkan perkhidmatan itu ke Rompin dan Lipis.

Beliau berkata kumpulan pertama sebanyak 47 pelatih yang mengikuti latihan selama setahun di China telah menamatkan pengajian dan dilantik bekerja oleh MRL.

Katanya, usaha itu dilaksanakan secara proaktif menerusi kerjasama kerajaan negeri, MRL, Universiti College Yayasan Pahang (UCYP) dan Yayasan Pahang bagi memastikan tenaga kerja terlatih tersedia sebelum ECRL memulakan operasi.

Pada Isnin, Ketua Pegawai Eksekutif MRL Datuk Seri Darwis Abdul Razak mengumumkan tambang kelas ekonomi bagi perkhidmatan transit ECRL dari Gombak ke Kota Bharu sejauh 523 kilometer bermula serendah RM125 sehala, manakala perkhidmatan ekspres bagi laluan sama bermula RM147.

Bagi perjalanan Gombak-Kuala Terengganu sejauh 378 kilometer, tambang transit bermula RM95 sehala, manakala perkhidmatan ekspres bermula RM110. Perjalanan Gombak-KotaSAS sejauh 209 kilometer pula, tambang bermula RM60 bagi transit dan RM68 bagi ekspres.

Darwis berkata diskaun sebanyak 50 peratus diberikan bagi kanak-kanak berumur dua hingga 12 tahun, warga emas warganegara Malaysia berumur 60 tahun ke atas, pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) serta pesara kerajaan, manakala pelajar berumur 13 hingga 24 tahun layak mendapat diskaun 40 peratus.

-- BERNAMA