KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyalurkan Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC 2.0) Bilangan 2 Tahun 2026 berjumlah RM1,218,259.40 kepada enam judul filem tempatan.
Pengerusinya Datuk Dr Hans Isaac berkata inisitiaf itu diharap dapat mendorong penggiat industri perfileman tanah air untuk terus menghasilkan karya berkualiti.
“Pembayaran ITFC kepada penerbit dibuat berdasarkan kutipan tiket filem yang telah diaudit, sekali gus memberi pulangan kepada penerbit selepas karya mereka ditayangkan di pawagam.
“Jadi kita yakin langkah ini dapat memberi semangat kepada industri serta penerbit dalam menghasilkan filem-filem mereka yang seterusnya, serta harap filem itu juga berkualiti,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian insentif itu di Menara FINAS hari ini.
Senarai penerima ITFC 2.0 ialah filem Malam Terlarang (Infinitus Gold Sdn Bhd & Astro Shaw Sdn Bhd), Key to Happiness (Flaming Light Sdn Bhd) dan I’m not Gangster (Dissy Definition Film Sdn Bhd).
Tiga penerima lain ialah Mah’s Journey (FBE Entertainment Group Sdn Bhd), White (FBE Entertainment Group Sdn Bhd) dan Our Crazy Adventure (De Kangaroo Production Sdn Bhd).
Hans berkata mengikut pembayaran ITFC, jumlah insentif itu meningkat daripada RM2,363,791.41 pada 2024 kepada RM3,252,091.23 pada 2025.
“Pertambahan RM888,299.82 atau 37.58 peratus itu disertai peningkatan bilangan filem dalam rekod penerimaan daripada 44 kepada 50. Tahun 2026 jumlah ITFC 2.0 bagi dua pusingan mencecah RM1,493,977.90, merangkumi 18 filem berdasarkan rekod.
“Bagi kami jika lebih banyak ITFC itu diberi, kita boleh nampak kemajuan kepada industri. Jadi, kita boleh nilaikan daripada data itu,” katanya.
ITFC ialah insentif tambahan kepada pengeluar filem tempatan berdasarkan kutipan tiket tayangan filem serta syarat kelayakan di bawah Skim Wajib Tayang yang merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi menerusi FINAS bagi membantu dan menggalakkan penerbit filem menghasilkan filem cereka tempatan.
-- BERNAMA