Am 22/10/2026 06:28 PM

JPJ Pulau Pinang Kesan 38 Kes Dadah Libat Pemandu

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
JPJ Pulau Pinang Kesan 38 Kes Dadah Libat Pemandu
Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang melakukan pemeriksaan terhadap pengguna jalan raya semasa menjalankan operasi bersepadu Ops Dadah JPJ bersama AADK di Stesen Penguat Kuasa Valdor malam tadi. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

NIBONG TEBAL, 22 Okt (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengesan 38 kes pemandu positif dadah dari Januari hingga malam tadi, dengan pemandu lori merekodkan jumlah tertinggi, iaitu 23 kes.

Pengarah JPJ Pulau Pinang Zulkifly Ismail berkata sebanyak 12 kes lagi melibatkan pemandu kenderaan persendirian manakala tiga kes membabitkan pemandu bas dengan kesemua yang terlibat berusia 30 hingga 50 tahun.

“Ujian air kencing mendapati mereka positif dadah dengan syabu yang mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 23 kes, diikuti ketum (enam), ganja (lima) dan morfin (satu).

“Sepanjang tempoh itu, kami turut mengambil tindakan menggantung lima lesen memandu dan lima lesen vokasional pemandu yang terlibat dalam kes dadah tersebut,” katanya kepada pemberita malam tadi.

Zulkifly ditemui selepas operasi bersepadu Ops Dadah JPJ bersama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK)  Pulau Pinang di Stesen Penguat Kuasa Valdor di sini.

Sesetengah pemandu memberikan alasan mengambil bahan terlarang itu kerana pengaruh rakan selain beranggapan dadah membantu mereka kekal bertenaga dan berjaga ketika memandu terutama pada waktu malam.

Bagaimanapun, beliau berkata alasan itu tidak boleh diterima kerana perbuatan tersebut boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.

Zulkifly menegaskan tanggungjawab memastikan keselamatan jalan raya juga terletak kepada majikan dan pengusaha pengangkutan yang perlu memastikan pekerja mereka layak, sihat dan selamat untuk menjalankan tugas.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa pengusaha pengangkutan dan syarikat logistik melaksanakan saringan terhadap pemandu mereka bagi mengenal pasti sebarang risiko sebelum dibenarkan bertugas membawa kenderaan perdagangan.

“Operasi bersepadu ini sebahagian daripada usaha berterusan JPJ untuk memperkukuh penguatkuasaan dan membendung penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu, khususnya mereka yang mengendalikan kenderaan perdagangan.

“Isu keselamatan kenderaan perdagangan terus mendapat perhatian masyarakat susulan kejadian kemalangan serius yang menimbulkan persoalan terhadap tahap kompetensi, disiplin dan kecergasan pemandu,” katanya.

Beliau berkata JPJ juga tidak mahu budaya mengambil dadah untuk kekal bertenaga ketika memandu dianggap biasa dalam industri pengangkutan.

-- BERNAMA