Am 22/10/2026 03:18 PM

Digital Penang, Yachiyo Engineering Jalin Kerjasama Pacu Inovasi Infrastruktur Sosial

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Digital Penang, Yachiyo Engineering Jalin Kerjasama Pacu Inovasi Infrastruktur Sosial
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari

GEORGE TOWN, 22 Okt (Bernama) -- Digital Penang dan syarikat berpangkalan di Jepun, Yachiyo Engineering Co. Ltd. memeterai kerjasama untuk memacu inovasi infrastruktur sosial serta memperkukuh daya tahan, kemampanan dan penyampaian perkhidmatan awam di Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata kerjasama itu akan mewujudkan ekosistem inovasi rentas sempadan untuk infrastruktur sosial generasi baharu, yang menghubungkan kepakaran kejuruteraan Jepun dengan agensi awam, industri dan syarikat pemula teknologi di Pulau Pinang.

Beliau berkata kerjasama itu akan meletakkan Pulau Pinang sebagai “Living Lab” yang membolehkan pihak terlibat menangani cabaran infrastruktur sebenar, menguji penyelesaian dengan mengambil kira keadaan setempat serta menilai keberkesanannya sebelum dilaksanakan secara lebih meluas.

“Kesejahteraan penduduk Pulau Pinang sentiasa menjadi keutamaan kami. Seiring dengan pertumbuhan ekonomi negeri, sistem perkhidmatan awam, termasuk pengurusan banjir, bekalan air bersih, pengangkutan bandar dan keselamatan awam, perlu terus dipertingkatkan

“Kerjasama dengan Yachiyo Engineering berkenaan membolehkan sektor awam meneroka pendekatan baharu untuk menangani masalah masyarakat yang berlarutan,” katanya pada majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Digital Penang dengan Yachiyo Engineering di sini, hari ini.

Pertukaran MoU antara Ketua Pegawai Eksekutif Digital Penang, Ng Kwang Ming, dengan ahli lembaga pengarah merangkap pegawai eksekutif dan Ketua Pengarah Bahagian Perancangan dan Pembangunan Perniagaan Yachiyo Engineering, Kenjiro Yamanaka, itu disaksikan oleh Zairil dan Timbalan Konsul Jeneral Jepun di Pulau Pinang Hideyuki Yazama.

Zairil, yang juga Pengerusi Digital Penang berkata kerjasama itu akan menumpukan kepada sistem air dan perlindungan alam sekitar; operasi bandar pintar dan mobiliti; transformasi hijau dan daya tahan tenaga; serta daya tahan struktur dan komuniti dengan matlamat memperkukuh infrastruktur dan perkhidmatan asas.

Sementara itu, Ng berkata kerjasama itu selaras dengan Pelan Induk Ekonomi Digital (DEMP), yang bertujuan memastikan transformasi digital sektor awam benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat.

“Dengan menggabungkan cabaran operasi sektor awam dengan inovasi kejuruteraan antarabangsa serta sokongan pemain industri tempatan, ekosistem ini membolehkan kami menguji dan mengesahkan keberkesanan teknologi mampan di Pulau Pinang sebelum diperluas ke seluruh negeri,” katanya.

-- BERNAMA