KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak hanya memberi tumpuan kepada badminton dan berbasikal trek sebagai penyumbang pingat negara, sebaliknya memperkukuh pembangunan 20 jenis sukan teras berprestasi tinggi bagi tempoh 2025 hingga 2028.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol berkata penetapan oleh Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) itu bagi memastikan pembangunan sukan negara dilaksanakan secara lebih berfokus dan berstruktur, dengan penekanan kepada pembangunan atlet daripada peringkat pengenalpastian bakat sehingga prestasi tinggi.
“Pelaksanaan program ini turut mengambil kira pencapaian semasa, potensi atlet, keperluan latihan dan peluang untuk bersaing pada peringkat antarabangsa,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Mordi menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai perancangan kementerian memperkukuh pembangunan sukan lain seperti angkat berat, pingpong dan memanah bagi mempelbagaikan sumber pingat negara pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA 2028).
Beliau berkata pendekatan berasaskan prestasi membolehkan sumber dan sokongan disalurkan secara lebih strategik kepada sukan serta atlet berpotensi menyumbang pingat, selain mengambil kira peluang kelayakan ke temasya sukan utama.
Mordi berkata Majlis Sukan Negara (MSN) turut memperkukuh ekosistem sokongan atlet melalui kerjasama dengan Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) dan Institut Sukan Negara (ISN), merangkumi aspek kejurulatihan, sains sukan serta perubatan sukan.
Menjawab soalan asal Zakri Hassan (PN-Kangar) mengenai perancangan strategik persiapan atlet negara menghadapi LA 2028, Mordi berkata KBS melalui MSN bersama dengan PSK dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) melaksanakan tiga inisiatif utama iaitu Program Podium, Program Road to Gold (RTG) dan Program Fast Track.
Beliau berkata sebanyak RM70 juta diperuntukkan bagi Program Podium pada 2026, melibatkan 415 atlet daripada 20 jenis sukan yang menjalani latihan sepenuh masa untuk menghadapi kejohanan antarabangsa dan temasya sukan utama.
Bagi Program RTG yang bertujuan memburu pingat emas Olimpik pertama negara, beliau berkata sebanyak RM12 juta diperuntukkan tahun ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), melibatkan 15 atlet daripada sukan angkat berat, badminton, berbasikal trek dan skuasy.
Mordi berkata program Fast Track pula merupakan inisiatif lanjutan RTG yang memberi tumpuan kepada pembangunan atlet berusia 25 tahun ke bawah, berada dalam kelompok 20 terbaik dunia dan mempunyai pencapaian pingat pada peringkat Asia.
“Setakat ini, empat atlet terlibat dalam Program Fast Track, masing-masing daripada sukan berbasikal trek dan memanah,” katanya.
Beliau berkata persiapan atlet negara ke LA 2028 dilaksanakan secara berfasa berasaskan prestasi, data dan penanda aras antarabangsa, dengan penekanan kepada latihan bersasar, pendedahan pertandingan, sokongan sains dan perubatan sukan serta pemantauan berterusan.
-- BERNAMA