Ekonomi 22/10/2026 03:42 PM

Malaysia Perluas Kerjasama Tenaga Dengan Turkmenistan, Sasar Perkhidmatan Bernilai Tinggi - Akmal

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Malaysia Perluas Kerjasama Tenaga Dengan Turkmenistan, Sasar Perkhidmatan Bernilai Tinggi - Akmal
Kredit: Kementerian Ekonomi

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Malaysia memperkukuh kerjasama tenaga dengan Turkmenistan bagi membuka peluang komersial baharu untuk syarikat khususnya dalam perkhidmatan minyak dan gas bernilai tinggi, teknologi, serta kejuruteraan khusus, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

“Syarikat kami bersedia untuk bekerjasama dengan rakan dari Turkmenistan bukan sekadar sebagai pembekal, malah sebagai rakan kerjasama jangka panjang yang komited terhadap penciptaan nilai tempatan,” katanya semasa berucap pada sesi pleno pembukaan Persidangan dan Pameran  Minyak dan Gas Turkmenistan (OGT 2026) di Ashgabat.

Menurut Kementerian Ekonomi dalam satu kenyataan hari ini, OGT 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 21 Oktober itu menghimpunkan 20 syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia termasuk Petroliam Nasional Bhd (Petronas). 

Daripada jumlah tersebut, tujuh pempamer menyertai Pavilion Malaysia yang julung kali diadakan, di bawah Program Akses Pasaran Antarabangsa dalam Pelan Induk Industri OGSE Kebangsaan 2021-2030 yang diterajui oleh Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC).

Menurut kementerian tersebut, penglibatan itu adalah berdasarkan kehadiran Petronas selama 30 tahun di Turkmenistan, serta susulan permeteraian Perjanjian Rangka Kerja mengenai Kerjasama Jangka Panjang bagi Pembangunan Sumber Hidrokarbon di Turkmenistan semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jun 2026.

“Kerjasama industri bakal diperkukuh lagi melalui memorandum persefahaman antara MPRC dengan State Concern Turkmennebit (syarikat minyak kebangsaan Turkmenistan), yang dijadual dimeterai hari ini  bagi memudahkan usaha kolaborasi dalam sektor OGSE di Turkmenistan,” maklum kementerian itu.

Sebagai sebahagian daripada lawatan tersebut, Akmal Nasrullah dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Timbalan Pengerusi Kabinet Menteri Turkmenistan Guvanch Agajanov, Menteri Negara merangkap Pengerusi SC Turkmengas, Maksat Babayev, Menteri Kewangan dan Ekonomi Mammetguly Astanagulov serta pihak pengurusan Dragon Oil dan Eni Turkmenistan Ltd, bagi memperkukuh hubungan ekonomi dua hala dan meneroka kerjasama strategik.

“Sesi libat urus ini akan membina momentum bagi Persidangan Meja Bulat Kerjasama Tenaga Malaysia-Turkmenistan, yang menghimpunkan syarikat OGSE Malaysia serta pihak berkepentingan utama Turkmenistan, termasuk Turkmengas dan Turkmennebit.

“Perbincangan meja bulat itu dijangka menterjemahkan kepentingan bersama kepada kerjasama konkrit yang menumpukan pada perkhidmatan bernilai tinggi, pemindahan teknologi serta pembangunan kemahiran, selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030),” menurut Kementerian Ekonomi.

-- BERNAMA