GUA MUSANG, 22 Okt (Bernama) -- Penduduk Kampung Orang Asli Pos Belatim di sini berharap balai raya baharu yang lebih luas dan selesa dapat dibina di lokasi itu bagi kegunaan program komuniti setempat, khususnya lawatan bulanan Kementerian Kesihatan (KKM).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan kampung itu, Roireng Ngah berkata kemudahan sedia ada ketika ini juga tidak lagi sesuai dan mencukupi, malah ketiadaan ruang penginapan selesa menjadi kekangan kepada petugas agensi berkaitan yang perlu bermalam bagi melaksanakan program komuniti.
“Biasanya kita mengadakan program beberapa kali setahun, namun petugas agensi luar yang datang tidak mempunyai tempat untuk bermalam.
“Petugas KKM yang datang setiap bulan bagi lawatan berkala juga terpaksa menumpang tidur di surau dan dewan Kampung Chemal,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pos Belatim, baru-baru ini.
Roireng berkata selain untuk kegunaan program komuniti, balai raya yang selesa juga boleh menjadi pusat mengundi ketika pilihan raya.
Penduduk Kampung Chacuh, Andi Bah Tohoi, 38, berkata kemudahan tambahan untuk rawatan kesihatan juga diperlukan kerana dewan sedia ada digunakan bagi urusan kecemasan, termasuk menempatkan jenazah sementara menunggu pengesahan pegawai perubatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Datuk Mohd Syahbuddin Hashim pula berkata akses lebih baik kepada kemudahan kesihatan dan infrastruktur adalah hak penduduk di pedalaman dan pembinaannya akan melancarkan lagi penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada komuniti Orang Asli di Gua Musang.
Beliau turut berharap Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dapat memberi perhatian serius terhadap keperluan berkenaan.
-- BERNAMA