Am 22/10/2026 01:59 PM

Aplikasi TuJu Kini Catat Lebih 700,000 Muat Turun

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Aplikasi TuJu Kini Catat Lebih 700,000 Muat Turun
Aplikasi TuJu mula diguna pakai oleh rakyat Malaysia bagi menggantikan aplikasi Waze.

CYBERJAYA, 22 Okt (Bernama) -- Aplikasi navigasi tempatan, TuJu, mencatatkan lebih 700,000 muat turun setakat ini yang menjadikannya alternatif kepada Waze dan Google Maps.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Dr Mohammed Ridzuan Jahidin berkata aplikasi yang dibangunkan bersama Prosignal Consortium Sdn Bhd itu menawarkan pelbagai fungsi unik dan praktikal khusus untuk pengguna jalan raya di negara ini.

“Antara keistimewaan TuJu ialah integrasi sistem kamera litar tertutup (CCTV) secara penstriman langsung, membolehkan pengguna memantau sendiri aliran trafik di lebuh raya secara masa nyata,” katanya dalam taklimat mengenai isu-isu semasa keselamatan negara di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin dan Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) MKN Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin.

Selain pemantauan trafik, Mohammed Ridzuan berkata aplikasi berkenaan turut dilengkapi fungsi butang bantuan kecemasan (SOS) bagi membolehkan pengguna berhubung terus dengan syarikat konsesi lebuh raya jika berlaku kecemasan atau berdepan sebarang masalah.

Sementara itu, Pengarah Operasi dan Senggara LLM Mohd Shahrir Amin Ahmad berkata sejak versi pertama diperkenalkan pada November tahun lepas, pihaknya kini giat menaik taraf perkhidmatan menerusi MyTuJu Versi 2.0 yang sarat dengan fungsi lebih moden.

Beliau berkata versi baharu itu memperluas ciri sedia ada merangkumi maklumat insiden kemalangan di sepanjang laluan, direktori lokasi pengecasan kenderaan elektrik (EV) serta penyepaduan maklumat tumpuan setempat (local interest).

"Pengguna juga boleh menetapkan destinasi tetap (fixed destination) dan menggunakan fungsi navigasi bagi mengesan lokasi kenderaan mereka yang diletakkan di kawasan tempat letak kereta yang besar.

“Versi 2.0 ini telah dilancarkan untuk pengguna Android, manakala bagi sistem operasi iOS dijangkakan pada penghujung bulan ini berikutan proses ujian di Apple Store," katanya.  

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggalakkan orang ramai untuk menggunakan TuJu yang dibangunkan oleh LLM sebagai alternatif bagi keperluan navigasi jalan raya. 

Perdana Menteri berkata langkah alternatif itu dicadangkan berikutan risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat susulan penggunaan aplikasi Waze yang terikat di bawah undang-undang Kerajaan Israel.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menerusi surat bertarikh 20 Okt memaklumkan larangan penggunaan aplikasi Waze dalam kalangan anggota perkhidmatan awam berkuat kuasa serta-merta.

-- BERNAMA