KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Hab perkhidmatan kewangan Touch 'n Go (TNG) eWallet, GOfinance menarik lebih lima juta pengguna yang mengakses sekurang-kurangnya satu produk pengurusan kekayaan setakat 30 Sept 2026, dengan nilai pelaburan keseluruhan yang diproses mencecah RM3.57 bilion.
Pengendali TNG eWallet, TNG Digital Sdn Bhd berkata GOfinance menawarkan pelbagai produk pengurusan kekayaan, termasuk dana pasaran wang, Amanah Saham, unit amanah, penyelesaian persaraan, emas digital serta saham tempatan dan global, dengan produk terpilih boleh diakses bermula daripada RM10.
“Bagi produk individu, lebih 4.7 juta pengguna telah melabur dalam GO+, manakala lebih 700,000 pengguna melakukan urus niaga emas digital menerusi e-Mas setakat tarikh yang sama.
"Angka keseluruhan itu merujuk kepada pengguna, termasuk mereka yang mengakses lebih daripada satu produk pengurusan kekayaan,” menurut syarikat itu dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Perkhidmatan Kewangan TNG Digital Desmond Teoh berkata usaha menjadikan pembinaan kekayaan lebih mudah diakses bukan sahaja melibatkan pengurangan jumlah pelaburan permulaan, malah penyediaan kemudahan untuk pengguna meneroka pelbagai pilihan tanpa perlu menggunakan platform yang berasingan.
“Kepercayaan penting apabila seseorang membuat keputusan berkaitan wang mereka. Kami berhasrat menyediakan titik permulaan yang praktikal kepada pengguna serta akses kepada pelbagai pilihan apabila keperluan kewangan mereka berubah,” katanya.
Menurut TNG Digital, GOfinance beroperasi menerusi model platform terbuka yang menggabungkan capaian TNG eWallet dengan kepakaran institusi kewangan mapan dan terkawal serta rakan kongsi khusus.
Teoh berkata rakan kongsinya menyediakan produk pelaburan dan kepakaran khusus, manakala TNG eWallet menghubungkan penawaran itu dengan pengguna.
Ini sekali gus membolehkan platform berkenaan memainkan peranan lebih luas sebagai pendamping digital harian serta memudahkan rakyat Malaysia meneroka dan mengakses lebih banyak pilihan pengurusan kekayaan, katanya.
-- BERNAMA