Dunia 22/10/2026 12:31 PM

Wakil UAE Lana Nusseibeh Umum Bertanding Jawatan Setiausaha Agung PBB

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Wakil UAE Lana Nusseibeh Umum Bertanding Jawatan Setiausaha Agung PBB
-- Foto kredit WAM

WASHINGTON, 22 Okt (Bernama-Anadolu) -- Timbalan Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE) Lana Nusseibeh yang juga Duta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan bertanding jawatan setiausaha agung badan dunia itu.

Hal itu susulan pencalonannya secara rasmi oleh UAE.

“Saya telah menghabiskan sebahagian besar kehidupan profesional saya bekerja dalam dan sekitar PBB dan saya telah melihat sendiri apa yang boleh dicapai oleh diplomasi yang tekad,” kata Nusseibeh dalam satu kenyataan, menurut Anadolu Ajansi.

"Tetapi saya juga telah melihat akibat apabila kurangnya diplomasi. Apabila jurang antara apa yang kita janjikan dan apa yang kita sampaikan semakin luas, kepercayaan semakin terhakis, dan begitu juga dengan keupayaan kita untuk bertindak," tambahnya.

Nusseibeh mengambil cuti daripada jawatan dalam kerajaan UAE untuk menumpukan pada pencalonannya.

Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan menyerahkan pencalonan itu dalam surat kepada presiden Perhimpunan Agung dan Majlis Keselamatan PBB, menurut laporan media.

Pencalonan itu dibuat selepas enam pusingan pengundian pada Majlis Keselamatan gagal menghasilkan calon yang boleh diterima oleh semua lima anggota tetap iaitu AS, Rusia, China, UK dan Perancis.

Majlis berkenaan mengadakan tinjauan pendapat terbaharunya pada 16 Okt sebagai sebahagian proses untuk memilih pengganti Antonio Guterres, yang penggal keduanya berakhir pada 31 Dis.

-- BERNAMA-ANADOLU