JOHOR BAHRU, 21 Okt (Bernama) -- Ketua jurulatih skuad hoki remaja negara Nor Saiful Zaini Nasiruddin mengakui kelemahan penyudahan dan kegagalan memanfaatkan pukulan sudut penalti menjadi antara aspek yang perlu dibaiki menjelang perlawanan akhir Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2026 yang akan berlangsung pada Sabtu ini.
Beliau berkata meskipun Malaysia berjaya menewaskan Pakistan 3-2 untuk mengesahkan tempat ke final, pasukannya masih mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol yang gagal disempurnakan, khususnya pada separuh masa pertama.
"Kita mempunyai banyak peluang pada suku pertama dan kedua, tetapi hanya berjaya menjaringkan satu gol. Sepatutnya kita boleh mendapatkan dua atau tiga gol pada peringkat itu.
"Kita juga mempunyai lima pukulan sudut penalti, tetapi tiada satu pun berjaya menghasilkan gol. Ini antara kelemahan yang perlu kita lihat semula menerusi rakaman video perlawanan," katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, di sini malam ini.
Nor Saiful bagaimanapun, berkata beliau tetap berpuas hati dengan kemenangan itu, terutama apabila pemain berjaya bangkit selepas Pakistan mengurangkan jurang jaringan dan menunjukkan kemampuan untuk mengatasi tekanan dalam perlawanan kompetitif.
Beliau berkata kemenangan itu turut memberikan pengalaman berharga kepada beberapa pemain yang kali pertama berjaya menewaskan Pakistan, selain menguji keupayaan pasukan untuk bangkit dan memastikan kemenangan.
Mengulas pendekatan taktikal, Nor Saiful berkata Malaysia cuba mengelakkan permainan di bahagian tengah bagi mengatasi strategi Pakistan yang menggunakan formasi padat untuk memerangkap lawan sebelum melancarkan serangan balas.
"Kita cuba bermain ke bahagian tepi dan tidak terlalu banyak menggunakan bahagian tengah kerana Pakistan mempunyai lapisan pertahanan yang baik untuk memintas bola dan melakukan serangan balas.
"Pendekatan itu ada memberikan hasil, tetapi penyudahan kita masih kurang baik. Kita perlu meningkatkan kemahiran untuk menukar arah serangan, mendapatkan pukulan sudut penalti dan melakukan percubaan tepat ke arah gol," katanya.
Beliau berkata anak didiknya juga perlu membaiki penguasaan bola ketika berdepan tekanan, khususnya selepas melihat pemain mula kehilangan bola dan memberikan ruang kepada Pakistan untuk kembali menguasai permainan pada suku ketiga.
Sementara itu, Nor Saiful berkata Malaysia akan menggunakan perlawanan menentang Kanada sebagai persediaan sebelum final, dengan memberikan perhatian kepada tahap kecergasan pemain dan mengelakkan risiko kecederaan.
Beliau berkata pasukan juga sedang berusaha mendapatkan khidmat pemain tengah Adam Ashraf yang disifatkannya sebagai antara tonggak penting dan perancang utama pasukan, untuk perlawanan akhir.
"Adam antara pemain terbaik kita dan kita memang memerlukannya untuk final kerana beliau memainkan peranan penting dalam mengatur permainan di bahagian tengah.
"Kita sedang cuba melihat sama ada beliau boleh bersama-sama pasukan untuk final, walaupun kemungkinan beliau tidak dapat beraksi menentang Kanada kerana perlu menyertai pasukan kebangsaan," katanya.
Terdahulu, Malaysia melangkah ke perlawanan akhir selepas menewaskan Pakistan 3-2 pada aksi malam ini.
-- BERNAMA