KUCHING, 21 Okt (Bernama) -- Lima tahun akan datang menjadi tempoh peralihan penting bagi Sarawak dalam usaha membangunkan ekonomi bernilai tinggi berasaskan penciptaan teknologi, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata Sarawak perlu mengamalkan pendekatan dan dasar baharu bagi meningkatkan daya saing ekonomi negeri termasuk beralih daripada aktiviti pemasangan kepada penciptaan teknologi.
“Dalam hal itu, kita mesti mempunyai dasar-dasar yang cekap yang impaknya bukan sahaja dalam bandar tetapi termasuk luar bandar,” katanya ketika berucap pada majlis Gabungan Parti Sarawak (GPS) Backbenchers Night yang berlangsung di sebuah hotel di sini malam ini.
Abang Johari berkata usaha itu penting bagi membolehkan Sarawak keluar daripada perangkap pendapatan sederhana melalui perubahan struktur ekonomi.
Beliau berkata asas transformasi ekonomi telah dibina sepanjang lima tahun lepas menerusi penekanan terhadap ekonomi digital, pengukuhan kedudukan fiskal dan pengukuhan aset strategik negeri sekali gus menyokong pelaksanaan pembangunan.
“Kita berjaya meletakkan asas kukuh bagi memacu pembangunan ekonomi menerusi pendekatan baharu dalam pengurusan ekonomi sepanjang tempoh lima tahun lepas,” katanya.
Sarawak dijangka mengadakan Pilihan Raya Negeri dalam masa terdekat berikutan penggal Dewan Undangan Negeri ke-19 akan berakhir secara automatik pada Februari tahun depan.
-- BERNAMA