Am 22/10/2026 12:29 AM

Terbuka Perancis: Pang Ron-Pei Jing Mara, Soon Huat-Shevon Tersingkir Awal

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Terbuka Perancis: Pang Ron-Pei Jing Mara, Soon Huat-Shevon Tersingkir Awal
Beregu campuran negara Hoo Pang Ron (kanan) dan Lai Pei Jing (kiri) --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 21 Okt  (Bernama) -- Beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing melakar kemenangan awal untuk mara ke pusingan kedua Terbuka Perancis 2026 di Arena Grand Paris hari ini. 

Meskipun tewas 14-21 pada set pembukaan, Pang Ron-Pei Jing bangkit untuk menundukkan pasangan China, Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying, 21-15, 21-15, dalam tempoh 46 minit.

Pasangan nombor 31 dunia itu akan berdepan wakil Taiwan, Liu Kuang Heng-Hsu Yin-Hui, yang mengejutkan pilihan kelima dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran, 21-13, 22-24, 22-20.

Berbeza pula nasib pasangan suami isteri, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang tersingkir awal selepas gagal memanfaatkan kemenangan pada set pertama ketika menentang pasangan Jerman, Marvin Seidel-Thuc Phuong Nguyen. 

Gandingan Malaysia itu menang set pertama 21-17 sebelum tewas dua set berikutnya 15-21, 20-22, sekali gus mengakhiri cabaran dalam kejohanan Super 750 itu.

Sementara itu, beregu wanita negara, Ong Xin Yee-Carmen Ting melangkah ke pusingan kedua apabila menewaskan pasangan tuan rumah, Margot Lambert-Camille Pognante, 21-11, 21-12.

Xin Yee-Carmen berpotensi untuk bertemu rakan senegara pada pusingan kedua sekiranya pasangan yang baru dinobatkan sebagai juara Terbuka Denmark, Pearly Tan-M. Thinaah berjaya menewaskan wakil Turkiye, Bengisu Ercetin-Nazlizan Inci, dalam aksi pusingan pertama mereka.

Kejohanan Terbuka Perancis 2026 menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan USD950,000 (RM3.88 juta).

-- BERNAMA