JOHOR BAHRU, 21 Okt (Bernama) -- Malaysia melangkah ke final Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor (SOJC) selepas menewaskan Pakistan 3-2 dalam aksi mendebarkan di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, di sini malam ini.
Pada suku pertama, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang dengan masing-masing melancarkan serangan bagi mencari gol pembukaan.
Penjaga gol Young Tigers, Adib Amsyar Mohammad Hanif, menjadi penyelamat apabila menepis pukulan sudut penalti Pakistan pada minit kelima bagi memastikan gawang Malaysia tidak dibolosi.
Dua minit kemudian, giliran Malaysia memperoleh pukulan sudut penalti, namun peluang itu gagal dimanfaatkan G. Dheeressh.
Skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin tersentak apabila pengadil Tianhe Ren menghadiahkan penalti strok kepada Pakistan selepas semakan video mendapati Safwan Salihe melakukan kekasaran terhadap penyerang lawan.
Bagaimanapun, Adib Amsyar sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang apabila menyelamatkan penalti strok yang diambil Waleed Rana pada minit ke-12.
Memasuki suku kedua, Young Tigers meningkatkan intensiti permainan sebelum memecah kebuntuan pada minit ke-21 menerusi jaringan S. Naaveennash hasil umpanan Muhammad Adam Asyraf Johari untuk meletakkan Malaysia di hadapan.
Pakistan bangkit mengasak pada suku ketiga dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-36 menerusi Adeel, yang menyudahkan umpanan Muhammad Yahya Najeeb selepas pemain itu melakukan penetrasi dari sayap kiri ke dalam kawasan D Malaysia.
Adeel sekali lagi menghukum kesilapan pertahanan Young Tigers pada minit ke-43 apabila George Eswaran gagal mengeluarkan bola dari kawasan D, sebelum penyerang Pakistan itu memperdayakan Adib Amsyar untuk meletakkan pasukannya di hadapan 2-1.
Memasuki suku keempat, perlawanan semakin sengit apabila kedua-dua pasukan meningkatkan asakan dalam usaha memburu jaringan.
Pakistan terpaksa beraksi dengan 10 pemain bermula minit ke-51 selepas Rana dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain Young Tigers.
Malaysia memanfaatkan kelebihan jumlah pemain itu dengan melancarkan serangan bertali arus sebelum Safwan Salihe menyamakan kedudukan menerusi gol padang pada minit ke-55.
Sorakan penyokong terus bergema apabila Naaveennash Paniker menjaringkan gol kemenangan dua minit kemudian untuk memastikan Young Tigers menamatkan perlawanan dengan kemenangan 3-2.
Terdahulu, dalam satu lagi perlawanan petang tadi, Jepun berjaya menewaskan China 4-1.
-- BERNAMA