Am 21/10/2026 10:05 PM

FSGMAM Gesa Giat Pemeriksaan Terhadap Penjual Rokok Seludup

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
FSGMAM Gesa Giat Pemeriksaan Terhadap Penjual Rokok Seludup

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Persekutuan Persatuan-Persatuan Peniaga Barangan Runcit Malaysia (FSGMAM) menggesa pihak berkuasa mempergiat pemeriksaan terhadap premis yang menjual rokok seludup, termasuk pemeriksaan susulan terhadap premis yang pernah diserbu sebelum ini.

Presiden FSGMAM Hong Chee Meng berkata pemeriksaan yang lebih kerap dan tindakan penguatkuasaan yang konsisten penting bagi memastikan peruncit yang menjalankan perniagaan secara sah tidak terus terjejas akibat persaingan daripada penjualan rokok seludup secara terbuka.

Beliau berkata ahli persatuan itu menjalankan perniagaan secara sah, membayar cukai dan memiliki lesen sewajarnya, namun terpaksa berdepan dengan kehilangan pelanggan kepada penjual rokok seludup yang menawarkan produk pada harga lebih murah.

“Kami menyambut baik peruntukan RM1.1 bilion oleh kerajaan di bawah Belanjawan 2027 bagi memperkukuh agensi penguatkuasaan.

“Peruntukan yang diumumkan memberikan harapan kepada pemilik kedai runcit dan peruncit kecil yang terus kehilangan pelanggan akibat penjualan rokok seludup secara terbuka, selain menunjukkan kerajaan serius dalam memperkasakan penguatkuasaan di lapangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hong turut menyambut baik langkah Belanjawan 2027 untuk mengurangkan beban kos perniagaan kecil, termasuk pengurangan satu peratus kadar cukai pendapatan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta penambahan kemudahan pembiayaan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Bagaimanapun, beliau berkata manfaatnya akan terjejas sekiranya peruncit sah terus kehilangan pelanggan kepada rokok seludup yang dijual pada harga lebih murah daripada harga produk sah.

“Pengguna sememangnya tertarik dengan harga yang lebih murah, sekali gus menyukarkan peruncit sah untuk bersaing. Pemilik kedai runcit juga sedang berdepan dengan peningkatan kos sewa, utiliti, stok barangan dan operasi, jadi persaingan dengan produk tidak sah yang dijual secara terbuka seperti ini sememangnya tidak mampan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa tindakan tegas turut diambil terhadap premis yang berterusan menjual rokok tidak sah, termasuk premis yang disewakan oleh pemilik tempatan kepada warga asing untuk menjalankan kegiatan perniagaan haram.

Beliau berkata gesaan itu selari dengan pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru-baru ini menyeru tindakan lebih tegas terhadap perniagaan haram, termasuk pembatalan lesen.

Hong berkata operasi penguatkuasaan di Puncak Alam, Selangor baru-baru ini, yang menyaksikan tiga premis perniagaan kendalian warga asing diarahkan tutup dan 18 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk menjual rokok disyaki tidak bercukai, menunjukkan keperluan untuk mempergiat usaha membanteras kegiatan berkenaan.

“Kami tidak meminta layanan istimewa. Kami hanya mahu undang-undang dikuatkuasakan secara adil dan konsisten, dengan tindakan tegas diambil terhadap premis yang menjual rokok tidak sah, termasuk penutupan premis jika dibenarkan oleh undang-undang.

“Peruncit yang menjalankan perniagaan secara sah tidak sepatutnya berada dalam keadaan yang merugikan hanya kerana mereka mematuhi undang-undang. Semua pihak perlu tertakluk pada standard yang sama,” katanya.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Okt lepas, kerajaan mengumumkan peruntukan RM1.1 bilion kepada agensi penguatkuasaan utama untuk mempertingkatkan operasi membanteras ketirisan hasil dan penyeludupan.

Agensi utama yang terlibat ialah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

-- BERNAMA