Am 21/10/2026 10:01 PM

AKSB Nafi Dakwaan Pemotongan Bekalan Air Tanpa Prosedur

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
AKSB Nafi Dakwaan Pemotongan Bekalan Air Tanpa Prosedur

KOTA BHARU, 21 Okt (Bernama) -- Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menafikan dakwaan seorang pengguna Facebook bahawa pemotongan bekalan air di premis miliknya di Tanah Merah dilakukan tanpa mengikut prosedur ditetapkan.

Dalam kenyataan hari ini, AKSB memaklumkan pemotongan bekalan air dan penarikan semula deposit pada 26 Julai lepas dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) berikutan tunggakan bil selama 14 bulan sejak Mei 2025.

Menurut AKSB, rekod menunjukkan pembayaran terakhir bil air pengguna berkenaan dibuat pada 12 Mei 2025. Pengguna atau wakilnya hadir ke Pejabat AKSB Jajahan Tanah Merah pada 18 Okt lepas untuk mendapatkan penjelasan mengenai tunggakan bil dan deposit yang ditarik balik.

AKSB memaklumkan pengguna itu perlu mengemukakan borang permohonan lengkap, salinan geran tanah, salinan kad pengenalan pemohon serta gambar premis bagi membolehkan pendaftaran semula sambungan bekalan air dibuat. 

"Perkara itu dimaklumkan kepada pengguna terbabit pada 19 Okt lepas dan lawatan tapak turut dilakukan pada hari sama, bagaimanapun sehingga kini pengguna terbabit masih belum mengemukakan dokumen yang diperlukan," menurut kenyataan itu.

AKSB turut menyangkal dakwaan aduan berkaitan bekalan mahupun kualiti air dibuat sebelum ini kerana semakan terperinci terhadap nombor telefon pengadu melalui sistem PINTAS Careline 15777 mendapati tiada sebarang rekod panggilan berkaitan aduan itu diterima.

Menurut AKSB, pemeriksaan di lokasi pada hari ini juga mendapati tiada masalah bekalan air daripada Loji Rawatan Air (LRA) Batu Gajah atau kualiti air di kawasan berkenaan, justeru AKSB menasihati pengguna supaya menyalurkan aduan melalui PINTAS Careline 15777 bagi membolehkan tindakan segera diambil.

-- BERNAMA