Am 21/10/2026 10:10 PM

Polis Seru Masyarakat Bantu Jihad Dadah Di Kelantan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Polis Seru Masyarakat Bantu Jihad Dadah Di Kelantan
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat (tengah) menziarahi seorang anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan yang cedera parah di bahagian lengan akibat dilibas parang ketika operasi membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah di Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah pada 17 Okt lepas. Anggota berkenaan diserang oleh seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan dadah ketika menjalankan tugas dalam operasi tersebut. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

PASIR MAS, 21 Okt (Bernama) -- Polis menyeru semua lapisan masyarakat termasuk aktivis supaya bersama-sama membantu usaha memerangi penyalahgunaan dadah menerusi inisiatif Jihad Dadah bagi membendung jenayah itu yang turut mengancam keselamatan orang ramai.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata penyalahgunaan dadah adalah antara faktor utama yang menyumbang kepada pelbagai kegiatan jenayah, malah boleh mengundang kejadian tragis apabila ada penagih yang sanggup mencederakan dan membunuh ahli keluarga sendiri.

"Kerjasama semua pihak amat penting bagi membantu polis menangani masalah ini," katanya kepada pemberita selepas melawat anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, hari ini.

Anggota berkenaan cedera parah di bahagian lengan selepas dilibas dengan parang oleh seorang lelaki ketika operasi membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah di Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah, 17 Okt lepas.

Sehubungan dengan itu, Mohd Yusoff meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah supaya menyalurkannya kepada polis bagi membolehkan tindakan segera diambil terhadap pihak yang terlibat.

“Kita menyeru semua pihak berganding bahu dalam usaha Jihad Dadah ini kerana selagi ramai penagih dan pesalah dadah, selagi itulah masalah kepada masyarakat akan berterusan,” katanya.

-- BERNAMA