Am 21/10/2026 09:58 PM

Geng Suria Tumpas, Sembilan Ahli Akan Didakwa Esok

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Geng Suria Tumpas, Sembilan Ahli Akan Didakwa Esok
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Polis percaya berjaya menumpaskan “Geng Suria”, kumpulan jenayah terancang yang dipercayai terbabit dalam 20 kes jenayah harta benda dan kekerasan termasuk rompakan berkumpulan bersenjata di Kedah hingga menyebabkan kecederaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata kejayaan itu hasil Ops Sunset yang dilaksanakan pihaknya dengan kerjasama JSJ Kontinjen Kedah dari 24 hingga 27 Sept lepas di Kedah dan Perak.

Beliau berkata kumpulan yang mempunyai sembilan ahli berusia antara 28 hingga 52 tahun itu diketuai seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun dan dipercayai aktif sejak awal 2024 hingga kini.

“Polis berjaya menangkap enam suspek berusia antara 28 hingga 39 tahun, manakala tiga lagi ahli kumpulan sedang ditahan di Penjara Sungai Buloh, Penjara Pokok Sena dan Penjara Sungai Petani atas kesalahan jenayah lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata keenam-enam suspek kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) hingga 25 Okt ini.

"Hasil pemeriksaan mendapati beberapa suspek mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan curi kenderaan, pecah rumah, dadah dan rompakan berkumpulan serta mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata tajam.

"Polis turut merampas enam telefon bimbit pelbagai jenama serta 189 pil ekstasi dengan anggaran berat 101.12 gram. Siasatan berhubung rampasan dadah itu dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Kumar berkata modus operandi kumpulan itu ialah menyasarkan kediaman warga asing, premis perniagaan dan rumah kediaman yang dikenal pasti oleh ketua kumpulan.

Beliau berkata semasa melakukan rompakan, ahli kumpulan menggunakan senjata berbahaya seperti pisau dan parang serta tidak teragak-agak mencederakan mangsa bagi melancarkan kegiatan jenayah mereka.

"Tindakan agresif dan keganasan itu menyebabkan mangsa mengalami ketakutan serta trauma, malah beberapa mangsa turut mengalami kecederaan parah.

"Barang berharga yang dicuri akan dijual untuk mendapatkan wang, manakala hasil keuntungan dibahagikan oleh ketua kumpulan kepada setiap ahli berdasarkan peranan dan penglibatan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan laporan polis yang diterima sejak 2024, kegiatan Geng Suria mengakibatkan kerugian mencecah ratusan ribu ringgit selain menjejaskan keselamatan mangsa.

"Kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara dan persetujuan diperoleh untuk mendakwa kesemua sembilan ahli kumpulan itu mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

"Kesemua sembilan ahli Geng Suria dijadualkan didakwa esok di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, Kedah,” katanya.

-- BERNAMA