KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Keputusan kerajaan melarang penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam disifatkan sebagai menterjemah komitmen tegas Malaysia terhadap penindasan rejim Zionis di Gaza, selain melindungi keselamatan data dan kepentingan strategik negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata langkah itu mencerminkan pendirian negara terhadap penindasan rakyat Palestin dan wajar diperluas kepada produk serta perkhidmatan lain yang mempunyai kaitan dengan Israel.
“Satu langkah yang sangat baik, yang menunjukkan komitmen kita terhadap apa yang sedang berlaku di bumi Gaza, penolakan terhadap Israel dan juga produk-produk lain yang dikeluarkan oleh negara haram Israel.
“Dan (langkah ini) perlu lebih komprehensif sehingga produk-produk ini lumpuh serta tidak mendapat tempat langsung di dalam pasaran Malaysia,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau turut menyarankan agar kerajaan memperketat usaha diplomatik bagi menggalakkan sekatan pergerakan terhadap warga Israel termasuk individu yang mempunyai dwikewarganegaraan.
Muhammad Nadir Al-Nuri berkata Malaysia berada pada kedudukan strategik sebagai kuasa tengah yang bersifat apolitikal untuk memainkan peranan sebagai perantara dan perunding yang berkesan di pentas antarabangsa bagi mendesak tindakan kolektif serantau.
Sementara itu, Pesiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia Mohd Azmi Abdul Hamid berkata larangan berkenaan perlu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha melindungi keselamatan siber dan kepentingan strategik negara, selain memastikan penggunaan teknologi digital selari dengan tanggungjawab moral serta dasar luar Malaysia.
Beliau berkata aplikasi digital bukan sekadar alat kemudahan harian malah berpotensi mengumpul data lokasi dan corak pergerakan pengguna serta memproses maklumat yang boleh memberi implikasi terhadap keselamatan individu, organisasi dan negara.
“Kerajaan perlu menjelaskan asas penilaian keselamatan yang membawa kepada larangan itu agar keputusan berkenaan menjadi sebahagian daripada kerangka keselamatan digital yang menyeluruh selain memperluas penilaian risiko kepada semua aplikasi dan platform digital dalam urusan rasmi perkhidmatan awam.
“Jika keselamatan data menjadi asas utama larangan Waze, prinsip yang sama hendaklah diterapkan kepada semua penyedia perkhidmatan digital tanpa mengira negara asal, jenama atau kepentingan komersial mereka,” katanya.
Terdahulu, kerajaan memutuskan untuk melarang semua penjawat awam menggunakan aplikasi navigasi Waze bagi melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh rejim Israel.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu mengambil kira kedudukan Waze Mobile Ltd selaku pengawal data pengguna yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel.
Dalam pada itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa kerajaan memperkukuh solidariti terhadap Palestin melalui dasar perolehan, pelaburan dan kerjasama perniagaan yang beretika termasuk menamatkan hubungan ekonomi dengan syarikat yang terbukti terlibat dalam genosid rakyat Palestin atau menyokong pendudukan haram Israel.
Presiden ABIM Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta sektor korporat mempunyai pengaruh ekonomi yang besar untuk memastikan kegiatan perniagaan negara tidak menyumbang kepada penindasan rakyat Palestin.
Beliau berkata selaras dengan pendekatan kempen Boikot, Pelupusan dan Sekatan (BDS) yang bersasar, penilaian terhadap pembekal, syarikat penerima pelaburan serta rakan niaga perlu dilaksana berdasarkan bukti yang boleh disahkan termasuk dapatan badan antarabangsa berwibawa.
“Bagi syarikat yang terbukti terlibat, tindakan perlu merangkumi penghentian urusan baharu, pelupusan pelaburan dan penamatan hubungan perniagaan secara terancang dengan sasaran serta tempoh pelaksanaan yang jelas,” katanya sambil menambah kriteria penilaian dan kemajuan tindakan wajar diumum secara berkala supaya pelaksanaan dapat dipantau.
Ahmad Fahmi turut menggesa Kementerian Kewangan bersama dengan kementerian dan agensi berkaitan menetapkan kriteria jelas bagi urusan perniagaan baharu dan menyemak semula hubungan sedia ada dengan syarikat terbabit.
Dalam aspek pelaksanaan larangan Waze pula, beliau berkata panduan yang jelas dan seragam perlu disebarluaskan kepada semua kementerian serta jabatan termasuk berkenaan penggunaan peranti rasmi dan peribadi selain memastikan aplikasi navigasi alternatif selamat, tepat dan tidak menjejaskan kelancaran perkhidmatan awam.
-- BERNAMA